
Setakat ini, 13 orang terbunuh manakala tujuh lagi cedera dan operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan bagi mengesan 25 lagi mangsa.
Saifuddin, yang berada di lokasi kejadian memberitahu pemberita pihak berkuasa akan menyemak sama ada tapak perkhemahan itu beroperasi secara sah.
“Ini (status pendaftaran) kita akan semak semula nanti,” katanya memaklumkan keutamaan sekarang adalah mencari baki mangsa yang belum ditemui.
Beliau berkata, pihak berkuasa sedang meneliti jumlah sebenar orang yang berada di tapak perkhemahan itu. Rekod pemilik tapak perkhemahan menunjukkan terdapat 94 orang, walaupun angka itu mungkin tidak tepat.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim, berkata siasatan forensik akan dijalankan bagi mengenal pasti punca tanah runtuh berhampiran Genting Highlands itu.
Beliau berkata, tiada tanda tanah runtuh akan berlaku kerana hujan tidak lebat di kawasan berkenaan sejak dua hari lalu.
“Tiada sebarang (tanda), tiada keretakan atau pokok tumbang,” katanya sambil menambah cerun juga dianggap selamat.