Perjanjian 5 gabungan, Anwar yakin kerajaan kukuh sampai habis penggal

Perjanjian 5 gabungan, Anwar yakin kerajaan kukuh sampai habis penggal

Perdana menteri juga yakin perjanjian persefahaman itu mampu menjamin kestabilan politik dan memacu ekonomi negara.

Anwar Ibrahim berkata keyakinan itu berdasarkan komitmen semua parti dan gabungan yang menandatangani perjanjian berkenaan untuk terus menyokong kepimpinannya.
PUTRAJAYA:
Anwar Ibrahim yakin kerajaan perpaduan pimpinannya akan kukuh sehingga tamat penggal ini selama lima tahun, susulan perjanjian persefahaman permuafakatan yang dimeterai lima gabungan parti politik.

Perdana menteri juga yakin perjanjian itu mampu menjamin kestabilan politik dan memacu ekonomi negara.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan komitmen semua parti dan gabungan politik yang menandatangani perjanjian berkenaan untuk terus menyokong kepimpinannya.

“Jika anda lihat apa yang sudah dirangka, perbincangan yang hebat (intense) untuk memahami , komitmennya adalah untuk menyokong kerajaan yang stabil, harapnya sehingga penggal berakhir.

“Kita capai persefahaman atau muafakat dengan hala tuju jelas (untuk) membangun negara, menjamin supaya sistem stabil dan tumpu perhatian mengangkat martabat negara sebagai negara maju,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian itu.

Lima gabungan dan parti itu terdiri daripada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan Warisan.

Ia ditandatangan Anwar selaku pengerusi PH, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi GPS Abang Johari Openg, Pengerusi GRS Hajiji Noor dan Presiden Warisan Shafie Apdal.

Sementara itu, Zahid berkata empat prinsip dalam Perlembagaan menjadi antara perkara utama disepakati dalam perjanjian persefahaman ditandatagani hari ini.

Timbalan perdana menteri berkata, segala kekhuatiran mengenai agama Islam, hak istimewa Melayu, kedudukan bahasa Melayu dan Institusi Diraja diambil kira dalam perjanjian itu.

“Bagi BN, permuafakatan ini diterjemahkan dalam bentuk persefahaman setelah satu proses artikulasi terhadap hal yang termaktub dalam Perlembagaan menjadi persetujuan bersama,” katanya.

Abang Johari pula berkata, kestabilan kerajaan menjadi keutamaan dalam perjanjian itu dan yakin perdana menteri akan membantu Sarawak dalam menyelesaikan masalah terutama pemulihan ekonomi selepas pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Hajiji berkata perjanjian itu sebagai detik istimewa negara memandangkan Sabah amat memerlukan suasana stabil dan perpaduan yang kukuh, manakala Shapie menyifatkan ia dapat memantapkan politik dalam negara termasuk dalam menjayakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.