Dah mohon tapi sampai PRU15 tak lulus, Zuraida perjelas pusat khidmat diambil MPAJ

Dah mohon tapi sampai PRU15 tak lulus, Zuraida perjelas pusat khidmat diambil MPAJ

Bekas Ahli Parlimen Ampang berkata pihaknya sudah menyerahkan semula tapak bangunan pusat khidmat itu kepada MPAJ.

Tangkap layar ciapan Twitter oleh pengguna @lady_bugg11 mendakwa Pusat Khidmat Parlimen Ampang diserbu MPAJ kerana dibina tanpa kebenaran. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin menjelaskan pihaknya sudah memohon untuk mendapatkan kebenaran bagi menukar status tanah bagi bangunan Pusat Khidmat Parlimen Ampang di Ampang Jaya.

Beliau berkata, bagaimanapun sehingga selepas PRU15 pihaknya belum mendapat kelulusan daripada kerajaan Selangor.

“Sebelum ini, ia merupakan bangunan terbiar yang kemudian diperbaiki dan beberapa binaan tambahan dibuat bagi memberikan kemudahan kepada penyampaian khidmat saya pada waktu itu sebagai Ahli Parlimen kepada komuniti di Ampang khususnya berikutan lokasinya yang strategik.

“Pada masa sama, kebenaran juga telah dipohon bagi menukar status tanah tersebut namun ia masih belum mendapat kelulusan pihak berwajib iaitu kerajaan PH negeri Selangor sehinggalah selepas PRU15,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Zuraida dilaporkan berkata bangunan yang dulunya Pusat Khidmat Parlimen Ampang di Ampang Jaya yang didatangi Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sudah beroperasi hampir sembilan tahun.

Menurutnya, bangunan itu beroperasi dengan makluman kepada MPAJ.

Zuraida berkata, selepas tidak menjadi Ahli Parlimen, beliau menyerahkan semula tapak itu kepada MPAJ di mana keputusan untuk berpindah keluar pada 14 Dis dicapai dengan perbincangan bersama MPAJ.

Beliau berkata, kenyataan itu dibuat bagi menjelaskan dan menjawab dakwaan yang tular di media sosial susulan kedatangan MPAJ ke premis tersebut.

Terdahulu, MPAJ ketika dihubungi memaklumkan Pusat Khidmat Parlimen itu tidak mendapat kelulusan.

Bagaimanapun, MPAJ berkata pihaknya mendapat kerjasama baik daripada pengurus Pusat Khidmat Parlimen itu yang bersetuju menyerahkan premis berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.