Tiada Kementerian WP langkah tepat, elak peranan bertindih, kata Ahli Parlimen

Tiada Kementerian WP langkah tepat, elak peranan bertindih, kata Ahli Parlimen

Lim Lip Eng berkata Ahli Parlimen Kuala Lumpur akan mengutarakan pandangan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya datuk bandar bertanggungjawab terhadap wakil rakyat.

DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan mempunyai peranan bertindih, kata Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.
PETALING JAYA:
Kerajaan mengambil “langkah tepat” tidak kembali mewujudkan Kementerian Wilayah Persekutuan memandangkan fungsinya yang bertindih, kata Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.

Bercakap kepada FMT, Lim juga mengambil maklum peranan bertindih menteri dengan datuk bandar.

“Sekarang ini kita tidak ada Kementerian Wilayah Persekutuan, jadi kami akan bertemu dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim (mengutarakan) berhubung datuk bandar perlu bertanggungjawab kepada Ahli Parlimen dalam Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya, berbanding pentadbiran kerajaan terdahulu, datuk bandar bertanggungjawab kepada menteri wilayah persekutuan.

Lim Lip Eng.

Lim berkata, walaupun tidak dimasukkan dalam manifesto pilihan raya DAP, parti itu sebelum ini mahu menghapuskan kementerian itu, selain memperkenalkan semula pilihan raya kerajaan tempatan.

“Di Kuala Lumpur, hanya ada tiga parti – DAP, PKR dan Umno.

“Jadi, mungkin wakil daripada tiga parti ini boleh bertemu dengan jabatan yang terlibat dalam melantik datuk bandar untuk berbincang dan mencapai konsensus,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Save Kuala Lumpur Coalition (SKL), M Ali, bersetuju bahawa ada pertindihan peranan membabitkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan sepatutnya “ditiadakan sementara” bagi penjimatan kos, selain mengelak fungsi bertindan.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan mesti bertanggungjawab terhadap rakyat di Kuala Lumpur.

“DBKL sepatutnya dipertanggungjawabkan di Parlimen sehinggalah pilihan raya kerajaan tempatan dilaksanakan, termasuk pemilihan datuk bandar dan ahli majlis selesai,” katanya.

SKL disertai penduduk Kuala Lumpur yang menyokong pertumbuhan dan pembangunan mapan.

Kementerian Wilayah Persekutuan ditubuhkan, pada 1979, yang berperanan mengkoordinasi pembangunan Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Ia kemudian dimansuhkan, pada 1987 dengan peranannya diambilalih Jabatan Pembangunan Wilayah Persekutuan, namun dihidupkan semula pada 2004 oleh perdana menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi, bagi memberi penumpuan kepada Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.