
“Gelombang Hitam bukan dari PN,” katanya ringkas ketika dihubungi FMT.
FMT turut menghubungi beberapa pemimpin Bersatu untuk mendapatkan komen.
Risalah yang tersebar di media sosial menyatakan “Gelombang Hitam” bukannya protes jalanan, sebaliknya protes aman terhadap perdana menteri ke-10 yang tidak mengganggu ketenteraman awam.
Ia menggesa individu tidak menyokong Anwar berpakaian hitam dan menukar gambar profil di media sosial kepada latar belakang hitam pada 18 dan 19 Dis ini bagi menghantar mesej kepada Ahli Parlimen.
Ia turut menggalakkan penggunaan tanda pagar “tidakpercaya” di media sosial.
Usul undi percaya terhadap kepimpinan Anwar disenaraikan sebagai Aturan Urusan Mesyuarat kelapan pada mesyuarat pertama Dewan Rakyat yang akan bersidang dua hari mulai Isnin depan.
Ahad lalu, Anwar dilaporkan berkata, usul undi percaya bagi membolehkan beliau menerajui negara dengan mandat jelas, walaupun ia tidak diperlukan kerana beliau memiliki majoriti jelas di Dewan Rakyat.
Katanya, beliau turut menjelaskan perkara itu semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah baru-baru ini.