Edar 35kg ganja, pemilik bengkel berdepan hukuman mati

Edar 35kg ganja, pemilik bengkel berdepan hukuman mati

Lelaki berusia 50 tahun itu didakwa mengedar dadah dengan anggaran berat 35.5kg pada 4 Dis lalu.

Tertuduh didakwa mengedar ganja di sebuah bengkel kereta di Changlun, Kedah, pada 4 Dis. (Gambar Bernama)
JITRA:
Seorang pemilik bengkel kereta dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 35.5kg di Changlun, dekat sini awal bulan ini.

Lee Chee Thiam, 50, hanya mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Huda Idris dan tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Lee didakwa mengedar dadah jenis ganja dengan anggaran berat 35.5kg di sebuah bengkel kereta di Changlun kira-kira 3.30 petang, pada 4 Dis.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Karthy Gasedev manakala tertuduh diwakili peguam dari Ravi Shankar Gandhi & Associates.

Majistret menetapkan 29 Mac tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menanti laporan kimia dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.