Dipecat Umno: Annuar tak akan rayu, tiada dendam dengan Zahid

Dipecat Umno: Annuar tak akan rayu, tiada dendam dengan Zahid

Bekas setiausaha agung Umno berkata sehingga kini beliau masih tidak tahu sebab pemecatan kerana tiada pertuduhan terhadapnya.

Annuar Musa berkata beliau tidak berdendam dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi selepas dipecat daripada parti disertainya lebih 43 tahun. (Gambar Umno Online)
KUALA LUMPUR:
Annuar Musa menegaskan beliau tidak akan merayu terhadap keputusan Umno yang memecat keahliannya baru-baru ini.

Bekas setiausaha agung Umno berkata, sehingga kini beliau masih tidak tahu sebab pemecatan kerana tiada pertuduhan terhadapnya.

“Saya buat keputusan tidak merayu. Nak merayu kita kena tahu salah kita, jadi kita nilai betul kita salah atau tidak. Jadi kalau tak salah, kita merayulah atas dasar diri kita tak bersalah.

“Sehingga hari ini, saya tidak tahu, saya tiada pertuduhan. Tak dipanggil, tak pernah ditanya, tak diminta penjelasan lisan atau bertulis, panggil secara sahabat pun tiada sedangkan dalam itu kawan-kawan saya tapi mereka tidak bertanya apa-apa.

“Tahu-tahu surat sekeping, pecat. Jadi saya nak rayu macam mana,” katanya pada sidang media di pejabat Muafakat Nasional.

Annuar berkata, beliau tidak berdendam dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi selepas dipecat daripada parti disertainya lebih 43 tahun.

“Dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga saya tidak bermusuh, sebaliknya hanya berbeza pandangan termasuk perjuangan politik.

“Sehingga hari ini pun, macam dengan Zahid, saya berani menegaskan dia kekal kawan saya. Saya masih menghormati, tidak marah, tiada dendam.

“Mungkin itu cara dia tadbir Umno, okaylah…sebab dia presiden. Nak gaduh peribadi itu tidak, buat apa nak gaduh, apatah lagi saya kini presiden MN yang promosikan ‘love and respect’, jadi saya akan promosikan ‘love and respect’,” katanya.

Annuar berkata, beliau sudah menjawab surat pemecatan keahliannya yang dihantar Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dengan meminta Zahid menjawab dan menjelaskan sembilan tuntutan yang tidak diperincikan kerana ia melibatkan isu sensitif.

Minggu lalu, Ahmad mengesahkan Annuar antara tiga pemimpin akar umbi dipecat daripada parti itu.

Annuar, ketua Umno Ketereh, bersama parti itu sejak 1979. Beliau digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

Beliau sebelum ini dilabel sebagai “mesra Bersatu” oleh penyokong Umno kerana desakannya untuk menyatukan parti itu dengan PAS dan Bersatu.

Dua lagi ahli Umno dilucutkan keahlian adalah Ketua Wanita Umno Arau Shamsiah Yasin, yang juga isteri bekas ketua Umno bahagian itu, Shahidan Kassim serta Ketua Wanita Umno Maran Fatimah Kassim, yang juga isteri penyandang kerusi Parlimen Maran, Ismail Abd Muttalib.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.