31 kontena e-sisa ditemui tahun ini

31 kontena e-sisa ditemui tahun ini

Semua kontena itu dihantar pulang ke negara asal.

Nik Nazmi Nik Ahmad memeriksa e-sisa yang ditemui dalam sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Klang hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebanyak 31 daripada 59 kontena yang ditahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Jabatan Kastam sepanjang 11 bulan tahun ini didapati membawa sisa elektrik dan elektronik (e-sisa).

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kontena sedemikian akan dihantar pulang ke negara asal.

Katanya, JAS akan terus memantau pengimportan e-sisa bagi memastikan Malaysia tidak menjadi transit atau tapak pelupusan negara maju.

“Sehingga kini, 19 kontena dipulangkan ke negara asal seperti Amerika Syarikat, Sepanyol, Australia, Belgium dan Jepun,” katanya dalam kenyataan selepas operasi membanteras perdagangan e-sisa di Pelabuhan Klang hari ini.

Berdasarkan Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya, semua pergerakan rentas sempadan buangan seperti e-sisa perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu sebelum sebarang aktiviti import dan eksport dijalankan.

Nik Nazmi berkata, tiga kontena lain yang diperiksa di Pelabuhan Barat, Klang pada 8 Dis lepas juga didapati mengandungi e-sisa diimport dari AS dan Sepanyol.

“Bahan buangan itu ialah perkakasan komputer terpakai berserta wayar yang dikategorikan sebagai sisa elektrik dan elektronik.

“Pemeriksaan turut mendapati pengimport mengikrar bahan dagangan sebagai sekerap aluminium bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya sambil menambah notis arahan akan dikeluarkan kepada syarikat pengimport untuk memulangkan kontena itu ke negara asal.

Beliau memberi amaran sebarang cubaan oleh mana-mana ejen atau syarikat perkapalan untuk mengimport sebarang e-sisa ke Malaysia akan berdepan tindakan tegas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.