Mahkamah benar keluarga, ibu rayu berkait status kewarganegaraan

Mahkamah benar keluarga, ibu rayu berkait status kewarganegaraan

Mahkamah juga akan mendengar rayuan dibawa seorang wanita bagi mengisytiharkannya sebagai warga Malaysia.

Ahli Family Frontiers, bersama peguam mereka Gurdial Singh Nijar. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan Family Frontiers dan enam ibu warga Malaysia berhubung keputusan menafikan kewarganegaraan automatik kepada anak yang dilahirkan di luar negara daripada ibu warga Malaysia dan pasangan warga asing.

Mahkamah juga akan mendengar rayuan dibawa oleh seorang lagi wanita, Mahisha Sulaiha, yang turut kalah dalam tuntutan mahkamah bagi pengisytiharan bahawa dia berhak menjadi warga Malaysia.

Ini susulan keputusan kerajaan untuk tidak mencabar persoalan dibangkitkan lapan pemohon itu.

Dalam kes sivil, pihak litigasi perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum mereka boleh meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Panel tiga hakim dipengerusikan Abang Iskandar Abang Hashim, bagaimanapun, memperhalusi persoalan yang akan dibincangkan dalam rayuan.

Abang Iskandar yang bersidang bersama-sama Vernon Ong dan Mary Lim, berkata tiga soalan akan digunakan untuk kedua-dua rayuan.

Soalan pertama melibatkan sama ada seseorang yang dilahirkan di luar persekutuan kepada wanita Malaysia adalah warganegara mengikut kuat kuasa undang-undang.

Soalan lain memerlukan mahkamah tertinggi untuk menentukan sama ada istilah “bapa” harus dihentikan dibaca secara literal dan secara diskriminasi berikutan pindaan 2001 kepada Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang melarang diskriminasi jantina.

Soalan ketiga yang akan dipertimbangkan oleh mahkamah tertinggi ialah sama ada larangan diskriminasi jantina dalam Perkara 8(2) juga harus meliputi peruntukan “kewarganegaraan” perlembagaan.

Pada 5 Ogos, Mahkamah Rayuan, dengan keputusan 2-1 membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara bagi wanita Malaysia yang mempunyai pasangan asing berhak mendapat kewarganegaraan.

Pada hari yang sama, Mahkamah Rayuan juga menolak rayuan Mahisha yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi 2020 yang menolak tuntutannya untuk pengisytiharan bahawa dia berhak mendapat kewarganegaraan.

Mahisha dilahirkan di India dengan ibunya warga Malaysia manakala bapa warga India.

Peguam Gurdial Singh Nijar, Abraham Au dan Joshua Andran mewakili Family Frontiers dan enam ibu, manakala Cyrus Das mewakili Mahisha.

Malik Imtiaz Sarwar muncul sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah) bagi Badan Peguam Malaysia.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan Liew Horng Bin mewakili kerajaan, menteri dalam negeri dan ketua pengarah jabatan pendaftaran negara (JPN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.