Ketua pegawai eksekutif CAAM letak jawatan

Ketua pegawai eksekutif CAAM letak jawatan

Chester Voon meluahkan hasrat untuk meletak jawatan pada Oktober lalu, namun selepas pertimbangan dibuat, ia ditangguhkan sehingga 31 Disember ini.

Peletakan jawatan Chester Voon ditangguhkan bagi membolehkan proses peralihan dan penyerahan tugas kepada penggantinya lancar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Chester Voon meletak jawatan berkuat kuasa 31 Dis ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi CAAM, Mohd Khairul Adib Abdul Rahman dalam kenyataan hari ini.

Khairul Adib berkata, Voon mengemukakan surat peletakan jawatannya dan diterima oleh Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook baru-baru ini.

Katanya, Voon meluahkan hasrat meletak jawatan pada Oktober lalu, namun selepas pertimbangan dibuat, ia ditangguhkan sehingga 31 Dis ini.

“Penangguhan ini bagi membolehkan CAAM melaksanakan proses peralihan dan penyerahan tugas kepada pengganti jawatan berkenaan.

“Perkara ini telah dipersetujui oleh Voon dan beliau serta pihak pengurusan CAAM menyediakan pelan strategik 2023 yang lengkap buat CAAM bagi memastikan proses kesinambungan positif.”

Katanya, sejak dilantik menjawat jawatan itu pada Jun 2020, Voon telah memberikan komitmen yang tinggi dalam kepimpinan yang berkesan kepada pengurusan CAAM.

“Di bawah kepimpinan Voon, CAAM telah mencapai pelbagai kejayaan yang telah membawa CAAM dikenali sebagai badan kawal selia keselamatan dan sekuriti industri penerbangan serta penyedia perkhidmatan navigasi udara yang mampan seperti hari ini,” katanya.

Khairul Adib berkata, CAAM akan meneruskan momentum yang telah membantu beberapa kejayaan yang dikecapi di bawah kepimpinan Voon termasuklah mengembalikan semula status Kategori 1 bagi Penarafan Keselamatan Penerbangan Antarabangsa (IASA) oleh Federal Aviation Administration (FAA) Amerika Syarikat,.

Kejayaan lain termasuklah pelancaran Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) yang baharu, pengenalan Piagam Pelanggan CAAM yang pertama serta kejayaan penstrukturan semula organisasi CAAM.

Katanya, beberapa inisiatif dan usaha lain juga diteruskan untuk memastikan peranan CAAM sebagai badan kawal selia industri penerbangan awam negara dikekalkan dan selaras dengan keperluan antarabangsa.

“CAAM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Voon atas dedikasi, kesungguhan, kerja keras dan sumbangan besar sepanjang perkhidmatan,” katanya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.