Bekas atlet Olimpik S Sabapathy meninggal dunia

Bekas atlet Olimpik S Sabapathy meninggal dunia

Mendiang pernah beraksi dalam kategori 4x400m di Olimpik Munich 1972.

S Sabapathy yang sebelum ini terlantar sakit di rumahnya selepas menghidap pelbagai penyakit termasuk masalah buah pinggang meninggal dunia 4.45 pagi tadi.(Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Bekas jaguh pelari kebangsaan S Sabapathy meninggal dunia pada usia 75 tahun, awal pagi tadi.

Berita pemergian atlet yang pernah beraksi dalam kategori 4x400m di Olimpik Munich 1972 itu dikongsikan anak sulung mendiang, P Mahaletchumy ketika dihubungi Bernama.

Sabapathy sebelum ini terlantar sakit di rumahnya di Seremban, Negeri Sembilan selepas menghidap pelbagai penyakit termasuk masalah buah pinggang.

”Ayah meninggal dunia pada 4.45 pagi. Sebelum ini, dia sukar untuk bernafas selain keadaan buah pinggangnya turut bermasalah,” katanya.

Mendiang akan dibawa ke krematorium di Mantin, Negeri Sembilan esok.

Mendiang meninggalkan isterinya G Maliga, 66, dan dua anak perempuan.

Sabapathy pernah memperoleh emas acara 4x100m dalam Sukan SEA di Singapura, pada 1973.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.