Henti politik isu penamatan KPPA, hormat keputusan kerajaan, gesa Cuepacs

Henti politik isu penamatan KPPA, hormat keputusan kerajaan, gesa Cuepacs

Mohd Syafiq Abdullah ditamatkan perkhidmatan sebagai ketua pengarah perkhidmatan awam semalam selepas berkhidmat lebih 30 tahun.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata keputusan itu dibuat hasil dapatan jawatankuasa siasatan dan semua pihak perlu menghormatinya sebagai suatu pengajaran. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa semua pihak menghormati prosedur penamatan khidmat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Mohd Syafiq Abdullah dan tidak menjadikan isu itu sebagai modal politik.

Presidennya, Adnan Mat berkata keputusan itu dibuat hasil dapatan jawatankuasa siasatan dan semua pihak perlu menghormatinya sebagai suatu pengajaran.

“Prinsip saling hormat-menghormati antara warga kerja tidak kira jawatan atau skim perkhidmatan perlu dipupuk dalam perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali dalam kenyataan mengumumkan perkhidmatan Shafiq sebagai KPPA ditamatkan, berkuat kuasa semalam.

Menurutnya, perkhidmatan Shafiq ditamatkan mengikut Subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980, yang membolehkan beliau menikmati semua faedah persaraan layak baginya.

Bagaimanapun, Syafiq berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang berhubung penamatan perkhidmatannya kerana “tidak berpuas hati ” dengan keputusan tersebut.

Mengulas lanjut, Adnan berkata semua pegawai termasuk lantikan politik dalam perkhidmatan awam perlu mendudung amanat Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar semua pihak dalam kerajaan perpaduan menghormati proses kerjasama dengan penjawat awam dalam usaha pemulihan negara.

“Sudah tentu sikap hormat-menghormati menjadi asas utama bagi membentuk sebuah permuafakatan yang baik dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Hubungan antara kakitangan tidak kira jawatan haruslah dijaga dengan baik kerana kerjasama yang kukuh akan diterjemahkan melalui kualiti perkhidmatan yang cemerlang,” katanya.

Shafiq, 58, sebelum ini dilaporkan terbabit dengan kontroversi mengherdik seorang pegawai imigresen di tempat awam. Satu jawatankuasa tertinggi kemudian ditubuhkan untuk menjalankan siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.