
“Saya seorang yang sangat terbuka mendengar teguran dan pandangan. Siapa yang mengenali saya mereka akan akui itu stail kepimpinan saya.
“Saya nak menyanggah pihak Lawyers for Liberty, dia harus tengok rekod saya lepas. Jangan buat kesimpulan awal,” kata Saifuddin dalam sidang media di Bukit Aman.
Saifuddin berkata, sebagai menteri beliau perlu berlaku adil dengan mendengar terlebih dahulu setiap masalah dihadapi agensi bawah kementeriannya.
Semalam, LFL menyelar Saifuddin kerana tidak mengambil tahu “krisis makanan dan kesihatan” di Pusat Tahanan Imigresen Kimanis, Sabah.
Pada sidang media itu juga, beliau memaklumkan bahawa sebanyak RM 20 juta telah diluluskan bagi penyediaan kamera badan untuk digunakan oleh polis.
Katanya, status terkini mengenai perkara tersebut sedang berada dalam peringkat perolehan.
“Jadi saya difahamkan oleh ketua setiausaha kementerian, mereka akan membuat tindakan susulan bagi memastikan ia harus disegerakan.
“Kita tiada kawalan aspek itu. Kita harap sebarang karenah yg melambatkan dapat kita atasi,” katanya.
Ketika ditanya mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma, menteri dalam negeri itu menjelaskan, setiap tangkapan yang dibuat oleh polis melibatkan Sosma mengikut proses ditetapkan.
“Berbanding kalau ISA atau Ordinan Darurat, (tempoh tahanan) itu sehingga 60 hari. Sosma pula adalah 28 hari.
“Pada akhir 28 hari, cuma ada dua syor iaitu bebas atau dihadap ke mahkamah. Kalau dihadap ke mahkamah pula, dia masih boleh ambil khidmat peguam,” katanya.