Tangani anak muda muflis jadi keutamaan Hannah

Tangani anak muda muflis jadi keutamaan Hannah

Menteri belia dan sukan itu berkata beliau mahu kerajaan melakukan intervensi membawa keluar golongan itu daripada bahana bankrap.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meletakkan keutamaan untuk memberi ‘jalan keluar’ kepada anak muda muflis.
PETALING JAYA:
Isu anak muda muflis menjadi keutamaan kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Dalam video TikTok, Ahli Parlimen DAP itu, berkata intervensi kerajaan diperlukan demi memastikan belia muflis diberikan jalan keluar, lebih-lebih lagi ramai golongan itu terkesan ketika pandemik Covid-19.

“Kalau belia jadi muflis pada usia muda dan kita tak ada ‘way out’ (jalan keluar) untuk mereka…yang saya nak gunakan infra KBS (Kementerian Belia dan Sukan) adalah membantu golongan belia yang tidak dapat membantu diri mereka sendiri.

“Golongan belia yang tidak mampu seperti belia muflis ini memerlukan intervensi kerajaan. Kalau usia 22 tahun sudah muflis bagaimana mereka akan berkahwin? Membeli rumah, memberikan jaminan kepada anak mereka,” katanya dalam video pendek itu.

Katanya, pihaknya sedang mengumpul data untuk meneliti langkah berkesan membantu belia muflis.

“Ini akan menjadi satu prioriti untuk saya,” katanya.

Hannah berkata, penumpuan juga akan diberikan kepada golongan belia yang lemah dalam akademik, namun mempunyai bakat lain yang boleh dikembangkan sehingga ke tahap mampu bersaing dalam pasaran kerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.