Tak macam Umno ada akar umbi, Puad ramal Bersatu Sabah ‘tutup kedai’

Tak macam Umno ada akar umbi, Puad ramal Bersatu Sabah ‘tutup kedai’

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata Bersatu Sabah tertubuh di atas pengkhianatan 21 ketua bahagian Umno negeri itu yang melompat.

Puad Zarkashi berkata, Bersatu Sabah akan terkubur tanpa kuasa dalam kerajaan negeri.
PETALING JAYA:
Pemimpin Umno meramalkan Bersatu akan terkubur di Sabah selepas ketuanya yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor bersama pemimpin lain “sebulat suara” keluar parti itu, semalam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi, berkata Bersatu Sabah tiada akar umbi, selain tertubuh di atas pengkhianatan 21 ketua bahagian Umno negeri itu yang melompat parti.

“Akan ada lagikah Bersatu di Sabah? Bersatu tidak ada akar umbi. Akar umbi parti itu berasal dari akar umbi Umno yang lompat parti. Tanpa kuasa di kerajaan negeri, Bersatu bolehlah tutup kedai di Sabah,” katanya di Facebook.

Bagaimanapun, semalam, Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee, dilaporkan berkata parti itu akan dibina semula di Sabah.

Ahli Parlimen Beluran itu, berkata beliau tidak akan mengikut jejak langkah Hajiji serta kumpulannya dan menjelaskan tindakan keluar parti oleh kumpulan berkenaan tidak menjejaskan Bersatu Sabah terutama di peringkat akar umbi.

“Saya tegaskan juga di sini Bersatu akan kekal di Sabah dan kita akan binanya kembali,” katanya.

Puad ketika mengulas lanjut, berkata situasi Bersatu Sabah berbeza dengan Umno negeri pada PRU14 ketika Barisan Nasional (BN) hilang kuasa.

Katanya, walaupun hanya tiga ketua bahagian yang setia bersama Umno selepas kekalahan teruk di Sabah, parti itu bangkit semula dan menang pada PRK Kimanis dan PRN Sabah, pada Sept 2020.

“Itu maknanya Umno Sabah berakar umbi.”

Sementara itu, veteran Umno, Shahrir Samad berkata, walaupun sekumpulan besar pemimpin Umno Sabah meninggalkan parti selepas PRU14, Umno tidak terkubur.

“Perjalanannya selepas itu dipenuhi rintangan dan halangan, namun masih berupaya berada dalam politik negeri itu.

“Sesudah PRU15, nasib yang sama menimpa Bersatu pula. Hanya tinggal Ronald Kiandee seorang diri sebagai utusan Muhyiddin di negeri bawah bayu itu. Putaran hidup lagi laju di Sabah?” soalnya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.