Pengorbanan DAP dalam Jemaah Menteri satu hikmah, Guan Eng ulas kebimbangan pengkritik

Pengorbanan DAP dalam Jemaah Menteri satu hikmah, Guan Eng ulas kebimbangan pengkritik

Ada pihak mempersoalkan DAP terlalu pemurah dalam pendirian mendahulukan 'negara sebelum parti' demi memastikan Anwar Ibrahim diangkat sebagai perdana menteri.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata, pemimpin parti perlu turun padang untuk memberi pemahaman mengenai pengorbanan dilakukan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sikap terbuka DAP dalam lantikan Jemaah Menteri mungkin dilihat sebagai pengorbanan besar dibuat parti itu, namun beberapa pimpinannya ada menyuarakan kebimbangan berdepan risiko tindak balas pada PRN, tahun depan.

Menurut sumber dalaman DAP, sekumpulan penyokong mempersoalkan sama ada parti terlalu pemurah mengambil kira pendirian mendahulukan ‘negara sebelum parti’ demi memastikan Anwar Ibrahim diangkat dan kekal sebagai perdana menteri.

Seorang sumber berkata, sejumlah besar ahli dan penyokong bersetuju dengan keputusan memberi laluan kepada Anwar menentukan lantikan jawatan Jemaah Menteri, justeru menidakkan, PAS dan Bersatu daripada menyusup menerajui kerajaan, namun ada pengkritik menyatakan parti itu akan diserang dan direndahkan sebagai ‘MCA 2.0’.

“Kata mereka buat apa undi DAP sekiranya jika suara mereka tidak dibawa dalam kerajaan,” katanya. “Setiausaha agung parti, Loke Siew Fook kata mereka perlu melakukan perkara itu demi kepentingan negara dan menghentikan (kerajaan) diambil alih pelampau, tetapi ia mungkin juga permulaan parti akan diserang.

“DAP yang lemah mungkin memudahkan Anwar, sekali gus mengundang kebimbangan pengerusi Pakatan Harapan itu akan menggunakan peluang berkenaan untuk meminggirkan parti.”

Dalam pada itu, sumber lain berkata, untuk seketika kebanyakan penyokong DAP menerima hakikat itu selain menghalang kegagalan Anwar, namun sehingga berapa lama.

“Rakyat menyatakan apa yang berlaku menyanggah pendirian parti mengenai kleptokrat dan reformasi institusi seperti perdana menteri tidak boleh menyandang portfolio kewangan dan DAP juga berdiam diri.”

Sementara itu, sumber lain mempersoalkan dakwaan Anwar bahawa pelantikan ke Jemaah Menteri dilakukan mengikut parti dan berdasarkan hierarki, bagaimanapun berbeza bagi DAP.

“Mengapa meminggirkan DAP?”

Sementara itu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng memberitahu FMT, beliau tidak terkejut berhubung ada segelintir ahli dan penyokong membangkitkan isu terbabit, terutama mengambil kira PKR menerima lapan lantikan menteri walaupun hanya mempunyai 31 Ahli Parlimen, berbanding DAP yang mendapat empat lantikan menteri walaupun mempunyai 40 Ahli Parlimen.

Katanya, pimpinan parti perlu turun ke lapangan bagi memberi penjelasan berhubung kepentingan pengorbanan dilakukan parti itu bagi pembangunan negara dan perpaduan kebangsaan selepas pilihan raya menyaksikan perpecahan besar berlaku, antara kuasa pelampau menentang kumpulan sederhana dan minoriti.

Beliau berkata, DAP berharap pengorbanan dilakukannya demi pelaksanaan reformasi dasar, sekali gus membuka peluang seluas-luasnya kepada Anwar menunaikan janji PH demi Malaysia yang lebih baik dan bersatu padu.

“Kita sedang berada dalam cengkaman penggunaan (sentimen) kaum dan agama untuk menyerang kerajaan perpaduan dan Anwar,” katanya. “Kita perlu membantunya untuk menentang segala bentuk melampau, selain membawa negara ini kembali stabil dalam politik dan bersatu.

“Jika beliau berjaya, kita akan menempa sejarah sebagai yang pertama melakukan konsesi sebagai tukaran kepada reformasi positif.”

Katanya, Anwar sedia mengetahui pengorbanan parti berkenaan lebih dua dekad lalu demi memastikan beliau menjadi perdana menteri satu hari nanti.

Beliau yang mengulas mengenai sejarah politik Malaysia yang tidak pernah dilalui sebelum ini, sambil menyatakan DAP memaparkan wajah sebenar meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan parti.

“Ini merupakan detik penentu bagi ahli dan penyokong DAP untuk membuktikan semangat mahu berkhidmat walaupun dilayan tidak saksama, namun akan membuat apa yang terbaik kepada negara,” katanya.

“Semua rakyat Malaysia mesti membantu Anwar menewaskan kuasa pelampau bagi memastikan keadilan diberikan kepada semua dan golongan minoriti tidak disisihkan atau berdepan diskriminasi mahupun dipersalahkan bagi setiap perkara.”

Katanya, semua rakyat Malaysia perlu melakukan sedaya mungkin bagi membantu Anwar menyelamatkan “roh negara” sebagaimana yang terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.