Hidupkan semula PLKN, rapat perpaduan kian rapuh, kata majlis belia

Hidupkan semula PLKN, rapat perpaduan kian rapuh, kata majlis belia

Majlis Belia Malaysia berkata perkara itu boleh dilaksanakan dengan memfokuskan aspek patriotisme berbanding menumpukan latihan ala tentera.

Majlis Belia Malaysia berkata PLKN platform terbaik untuk menyuburkan pendidikan demokrasi generasi muda selepas Undi18 dilaksanakan kali pertama pada PRU15. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dihentikan pada 2018 ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) wajar diaktifkan semula bagi merapatkan perpaduan kaum yang semakin rapuh, khususnya selepas PRU15.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Izzat Afif Abdul Hamid, berkata perkara itu boleh dilaksanakan dengan memfokuskan aspek patriotisme berbanding menumpukan latihan ala ketenteraan yang dipraktikkan negara luar seperti Singapura dan Korea Selatan.

Katanya, negara tidak perlu terikut-ikut modul diperkenalkan di negara luar, memandangkan sistem pertahanan negara tidak terlalu mendesak untuk mewujudkan latihan PLKN ala ketenteraan.

“Modul kita tak sama seperti negara luar antaranya Korea atau Singapura sebab mereka lebih fokus kepada ketenteraan, sebaliknya PLKN lebih fokus kepada penerapan nilai perpaduan dan cintakan negara,” katanya kepada FMT.

“Modul PLKN sebelum ini dah cukup baik… ada penerapan, jati diri, ketahanan diri, jadi kita ambil yang penting, tak perlu kita ikut seperti negara lain…kalau betul nak masuk latihan ala ketenteraan mereka boleh sertai (askar) wataniah.”

Beliau mengulas desakan beberapa pihak termasuk orang awam yang mahu program memperkasa jati diri belia itu diaktifkan semula selepas Kementerian Pertahanan sekali lagi diterajui menteri daripada Umno.

Izzat yang juga presiden Majlis Belia Pahang berkata, PLKN disifatkan sebagai platform terbaik untuk menyuburkan pendidikan demokrasi dalam kalangan generasi muda, selepas Undi18 dilaksanakan kali pertama pada pilihan raya kali ini.

Terdahulu, Pemuda Umno memuat naik status di Facebook meminta Menteri Pertahanan Mohamad Hasan meneliti semula program PLKN yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional pada Disember 2003.

Pada November 2020, menteri kanan (keselamatan) ketika itu Ismail Sabri Yaakob bercadang melaksanakan semua PLKN, namun tidak dilakukan sehingga kini.

Izzat juga mendedahkan pihaknya dimaklumkan modul untuk mengaktifkan semula program itu sudah tersedia awal tahun ini, namun tertangguh susulan pergolakan politik negara.

“Sekarang isu politik dah selesai, jadi isu pembangunan negara perlu diberi fokus utama kerana ketika PRU isu perkauman masih dimainkan, dan kita lihat dalam PLKN ia mampu menjadi antara medium untuk mengatasinya,” katanya.

Walaupun terdapat segelintir pihak khuatir berlaku ketirisan dalam pelaksanaan program pemantapan belia itu, Izzat menegaskan ia tidak seharusnya dijadikan penghalang utama untuk meneruskannya.

“Ketirisan itu boleh diperbaiki, takkan disebabkan kelemahan kecil kita nak hapuskan benda yang baik dan menggadaikan program untuk belia dan anak muda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.