Mahasiswa serah memorandum, gesa kerajaan perkenal Akta Pengajian Tinggi

Mahasiswa serah memorandum, gesa kerajaan perkenal Akta Pengajian Tinggi

Selain akta itu mereka turut menuntut agar AUKU dimansuhkan dan pilihan raya kampus bebas daripada campur tangan pentadbiran universiti.

Wakil mahasiswa UM Ooi Guo Shen menyerahkan memorandum kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi Husaini Amir di hadapan KPT hari ini.
PUTRAJAYA:
Kesatuan mahasiswa universiti awam dan swasta hari ini menggesa Kementerian Pengajian Tinggi segera memperkenalkan Akta Pengajian Tinggi.

Yang Dipertua Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya Ooi Guo Shen berkata, KPT perlu mengenalkan akta itu selain memansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU), Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996 dan akta-akta lain yang berkenaan.

Beliau berkata, usaha memansuhkan AUKU terutamanya sudah dijalankan sejak 2018, namun terhenti selepas perubahan kerajaan.

Para mahasiswa tersebut turut menggesa agar jawatankuasa teknikal yang mengkaji pemansuhan AUKU dihidupkan semula, dengan dianggotai golongan pakar dan aktivis.

Ooi Guo Shen.

“Jawatankuasa Teknikal Mansuhkan AUKU ini perlu dianggotai oleh pakar atau pengkaji undang-undang dalam bidang yang berkaitan,” kata Ooi pada sidang media di hadapan pintu masuk KPT hari ini.

“(Juga) aktivis mahasiswa dan aktivis sosial yang mempunyai pengalaman yang berkaitan, dan ahli-ahli akademik dan wakil pentadbiran universiti dan kerajaan.”

Wakil Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) Lai Yue Yi turut mengulangi gesaan sama, agar kerajaan perpaduan baharu memansuhkan AUKU, seperti yang dinyatakan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

“Dengan pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri baharu, kami menuntut supaya kerajaan menunaikan manifesto (hapus AUKU) dengan kadar segera,” kata Lai pada sidang media yang sama.

Selain itu, para mahasiswa turut menuntut kementerian meningkatkan belanjawan bagi universiti untuk menambah baik kemudahan di kampus.

Sementara itu, Exco Kampus Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Raja Muhd Arif Afifuddin Raja Ahmad Iskandar menggesa agar pilihan raya kampus bebas daripada campur tangan pihak pentadbiran universiti.

“Pilihan raya kampus ialah medan untuk kita menunjukkan bakat mengelola dan juga menguasai teknik-teknik berkarya,” katanya.

“Jika ada anasir atau pengaruh daripada pentadbiran, ini (umpama) pilihan raya kampus kita telah diceroboh.”

Memorandum tuntutan tersebut, yang diperakui dan disokong oleh 33 persatuan mahasiswa universiti awam dan swasta di seluruh negara, disampaikan kepada wakil KPT, Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi Husaini Amir.

Husaini berkata, pihaknya akan meneliti memorandum berkenaan, memandangkan beberapa perkara melibatkan akta.

“Kita akan buat keputusan terbaik (setelah meneliti memorandum,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.