Kes demam denggi naik 11.6% minggu lepas 

Kes demam denggi naik 11.6% minggu lepas 

Dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan dari 27 Nov hingga 3 Dis lalu.

Kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah 58,239 berbanding 24,049 kes bagi tempoh sama tahun lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jumlah kes demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-48 tahun ini dari 27 Nov hingga 3 Dis meningkat sebanyak 11.6% iaitu 1,935 kes berbanding 1,734 pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME ke-48.

Beliau berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah 58,239 kes berbanding 24,049 kes bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 142.2% manakala 39 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 19 kematian bagi tempoh sama pada 2021.

“Sebanyak 53 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 54 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 24 hotspot berada di Selangor, Sabah (16), Kuala Lumpur dan Putrajaya (10) serta masing-masing satu lokaliti di Pulau Pinang, Perak dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan.

Hisham berkata, survelan chikungunya merekodkan sebanyak 21 kes pada ME ke-48 dengan 20 kes di Pulau Pinang dan satu kes di Selangor.

“Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 731 kes. Bagi survelan zika, sebanyak 2,003 sampel darah dan 17 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.