Jangan kecewakan ahli setia, Hishammuddin beritahu BN

Jangan kecewakan ahli setia, Hishammuddin beritahu BN

Ahli Parlimen Sembrong berkata, kelangsungan masa depan parti banyak bergantung kepada ahli akar umbi yang setia dengan perjuangan dan penerimaan rakyat terhadap BN.

Hishammuddin Hussein berkata, perjuangan Umno dan BN harus diteruskan tanpa perlu menuding jari terhadap mana-mana pihak.
PETALING JAYA:
Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Hishammuddin Hussein berharap kesetiaan ahli akar umbi terhadap perjuangan Umno dan gabungan itu tidak dikecewakan.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, kelangsungan masa depan parti banyak bergantung kepada ahli akar umbi yang selama ini setia dengan perjuangan serta penerimaan rakyat terhadap BN.

“Penting untuk memahami dinamik sokongan tersebut, terutama dalam mengusahakan kelangsungan dan masa depan parti, apatah lagi ia banyak bergantung kepada ahli akar umbi yang selama ini setia kepada perjuangan serta penerimaan rakyat terhadap BN.

“Ini mesti diberi perhatian kerana saya percaya dalam perjuangan, jangan sesekali kecewakan mereka yang selama ini setia kepada parti,” katanya di Facebook.

Hishammuddin berkata, beliau kini mempunyai lebih banyak masa untuk menyumbang kepada perjuangan parti kerana tidak lagi berada dalam Jemaah Menteri.

Katanya, perjuangan harus diteruskan tanpa perlu menuding jari terhadap mana-mana pihak.

“Walaupun tidak mudah, kita harus terus melangkah ke hadapan untuk berjuang. Saya tidak mahu menunding jari menyalahkan sesiapa dan saya juga tidak menyalahkan parti. Saya orang perjuangan dan akan tetap istiqamah demi Umno dulu, kini dan selamanya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mengkaji dan meneliti semula keputusan pilihan raya Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman bagi melihat “mood” serta sentimen rakyat.

Semalam, Perikatan Nasional (PN) menang di Parlimen Padang Serai, selepas calonnya, Azman Nasrudin menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Sofee Razak dengan majoriti 16,260 undi.

Di DUN Tioman, Johari Hussain yang mewakili BN, mengekalkan kerusi itu untuk penggal keempat dengan majoriti tipis 573 undi, selepas memperoleh 8,080 undi menewaskan calon PN, Nor Idayu Hashim yang mendapat 7,507 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.