
Gesaan itu menyusul penafian KDN hari ini berhubung keadaan fizikal tahanan yang kurus di Depot Tahanan Imigresen Kimanis akibat layanan buruk Jabatan Imigresen (JIM).
Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, beliau dimaklumkan JIM bahawa keadaan fizikal tahanan terbabit sememangnya kurus dan susut sebelum dimasukkan ke depot itu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Hishamuddin Hashim bagaimanapun berkata, mereka mendapat laporan lapangan, termasuk daripada ahli keluarga tahanan, yang mendakwa berlaku krisis makanan dan kesihatan di Depot Tahanan Imigresen Kimanis.
“Berdasarkan video dan gambar yang tular tersebut, berapa lamakah sebenarnya individu-individu tersebut telah ditahan? Adakah sebulan atau sudah setahun?
“Adakah logik sekiranya individu-individu tersebut yang tular kesemuanya telah susut sebelum ditempatkan di depot tersebut dan kesemuanya mengamalkan gaya hidup dan aktiviti tidak sihat?” soalnya dalam kenyataan.
MHO turut meminta KDN memberi perhatian terhadap krisis makanan dan kesihatan di semua depot tahanan.
“Adakah pihak KDN boleh memastikan isu krisis makanan dan kesihatan di dalam depot tahanan tersebut dapat ditangani dengan baik?
“MHO tidak mahu menuduh serta menuding jari, tetapi ia bertujuan supaya pihak KDN dapat mengambil berat dan membuat penelitian khusus berkenaan isu-isu kemanusiaan yang berlaku di depot tahanan.”
Beliau berkata, sebagai NGO yang lantang mengkritik isu pemerdagangan manusia dan sindiket penipuan di luar negara, di mana rakyat Malaysia menderita dikurung dan diseksa, mereka tidak mahu perkara sama berlaku dalam depot tahanan negara ini.
Terdahulu, dalam satu video seminit 30 saat, seorang lelaki bernama Salomon mendakwa sudah lebih setahun berada di Depot Tahanan Imigresen Kimanis, Sabah dengan makanan dan minuman tidak mencukupi menyebabkan kebanyakan mereka kurus kering.
Tetapi, Saifuddin dilaporkan verkata, media tidak seharusnya melebihkan isu tahanan Kimanis kerana tidak adil untuk memberikan laporan berat sebelah, selain mempersoalkan adakah tahanan imigresen itu mengamalkan gaya hidup sihat, walaupun sebelum mereka ditahan.