Batal projek banjir, ADUN Bersatu bidas Anwar lengah usaha lindungi rakyat

Batal projek banjir, ADUN Bersatu bidas Anwar lengah usaha lindungi rakyat

ADUN Seberang Jaya Dr Afif Bahardin berkata tindakan Anwar juga berniat jahat ke atas PN yang didakwa tidak mematuhi prinsip ketelusan.

Dr Afif Bahardin menyifatkan tindakan Anwar Ibrahim membatalkan projek tebatan banjir bernilai antara RM7 bilion hingga RM15 bilion sebagai melengah-lengahkan usaha melindungi kebajikan rakyat dan negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
ADUN Seberang Jaya Dr Afif Bahardin menyifatkan tindakan Anwar Ibrahim membatalkan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion hingga RM15 bilion sebagai melengah-lengahkan usaha melindungi kebajikan rakyat dan negara.

Katanya, tindakan Anwar juga berniat jahat ke atas Perikatan Nasional (PN) yang didakwa tidak mematuhi prinsip ketelusan berhubung projek yang diumumkan ketika pemerintahan mereka sebelum ini.

“Saya percaya ketika perbincangan projek tebatan banjir berlaku semasa pentadbiran PN, semua prinsip ketelusan dan peraturan masih dipatuhi tetapi proses perbincangan dipercepatkan kerana isu perubahan iklim terutamanya banjir adalah isu yang sangat mendesak.

“Pembatalan kelulusan dibuat Anwar bukan sahaja melengah-lengahkan usaha melindungi kebajikan rakyat dan negara tetapi juga berniat jahat ke atas Perikatan Nasional yang didakwa tidak mematuhi prinsip ketelusan,” katanya dalam kenyataan.

Afif berkata, ketika tragedi bah besar pada Dis 2021 di mana Shah Alam menjadi lokasi paling teruk terjejas dengan kerugian mencecah RM6.1 bilion, Pakatan Harapan (PH) di Selangor sendiri mempertimbangkan untuk mengisytiharkan darurat iklim.

Beliau turut mempersoal apakah pertimbangan darurat iklim ini sudah tidak dipedulikan PH dan mereka mahu mendahulukan karenah birokrasi apabila sudah menjadi kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.

Timbalan ketua bahagian Bersatu Shah Alam itu turut mempersoalkan pengumuman Anwar berhubung pembatalan kelulusan projek itu kerana mendakwa ia dibuat secara rundingan terus.

Katanya, terma “kelulusan” yang digunakan Anwar tidak tepat kerana menurut kenyataan bekas menteri alam sekitar dan air Tuan Ibrahim Tuan Man, beliau belum pernah menandatangani sebarang Surat Setuju Terima (SST) kepada mana-mana pihak untuk meneruskan projek tebatan banjir itu.

“Maka tidak wujud soal “membatalkan kelulusan” kerana belum ada dokumen hitam putih perundangan mengikat kerajaan dalam projek itu,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengarahkan supaya kelulusan mutakhir projek itu diteliti semula.

Katanya, kelulusan peruntukan itu tidak akan diteruskan dan akan diteliti semula supaya terdapat prinsip ketelusan dan mematuhi peraturan ditetapkan.

“Jumlah ini bukan kecil…atas alasan umpamanya membantu menyegerakan langkah tebatan banjir tetapi ada masalah apabila peraturan tidak dipatuhi dan ada upaya mencari kesempatan.

“Ini amat dikesalkan dan saya berterima kasih kerana pegawai kanan Kementerian (Kewangan) bersama dan tidak selari dengan maksud ini, tetapi pada ketika itu (hanya) mengikut arahan,” katanya dalam sidang media pada Selasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.