Azeez dilepas selepas siasatan lanjut SPRM, kata peguam negara

Azeez dilepas selepas siasatan lanjut SPRM, kata peguam negara

Tiada keterangan dan fakta yang memihak kepada pihak pendakwaan, kata Jabatan Peguam Negara.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan bekas Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara berkata pihaknya tidak mempunyai keterangan dan fakta bagi menyokong kes rasuah terhadap Abdul Azeez Abdul Rahim selepas keputusan siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibawa untuk perhatiannya.

“Pihak pendakwaan berpuas hati bahawa tiada keterangan dan fakta yang memihak kepada pihak pendakwaan,” katanya dalam kenyataan.

September lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan Azeez dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam kes rasuahnya selepas pendakwa raya memberitahu mahkamah mereka perlu menyemak semula siasatan selepas menerima “petunjuk baharu” dalam kes itu.

Bagaimanapun, hari ini mahkamah tinggi di sini melepas dan membebaskan bekas Ahli Parlimen Baling daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan Azeez untuk mengubah perintah mahkamah sesyen, daripada dilepas tanpa dibebaskan kepada pembebasan penuh, selepas Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Mahkamah sebelum ini membenarkan Azeez dilepas tanpa dibebaskan dalam kes yang mana beliau didakwa pada 2019 atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Azeez turut dikenakan 10 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM13.9 juta daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada Ogos membatalkan empat daripada 10 tuduhan pengubahan wang haram tersebut, membabitkan sejumlah RM12.9 juta.

Dengan perintah yang dikeluarkan mahkamah hari ini, pihak pendakwaan tidak boleh mengembalikan tuduhan atau mengemukakan tuduhan baharu terhadap Azeez berdasarkan fakta sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.