
Menurut laporan Bernama, beliau tergerak hati untuk singgah di premis terbabit tanpa diiringi pegawai penguat kuasa KPDN semasa dalam perjalanan ke pejabatnya pagi tadi.
“Saya sengaja tidak beritahu pengurusan kementerian dan bahagian penguat kuasa KPDN kerana tidak mahu jadi seperti acara keraian.
“Saya hanya ditemani pemandu dan pegawai pengiring saya yang bertindak sebagai jurukamera dan juruvideo yang sangat amatur. Saya mohon maaf jika kualiti video dan suntingannya tidak memuaskan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFI) esok bagi membincangkan isu bekalan telur dan minyak masak paket bersubsidi di pasaran.
Beliau juga akan mengarahkan bahagian penguat kuasa KPDN untuk menyelesaikan masalah berkaitan minyak masak bersubsidi polibeg satu kilogram.
Katanya beliau akan bertindak setelah dapatan yang jelas menunjukkan terdapat kekurangan bekalan telur dan minyak masak bersubsidi di pasaran runcit.