Rosmah hadir di Menara Dato’ Onn ketika mesyuarat MKT Umno

Rosmah hadir di Menara Dato’ Onn ketika mesyuarat MKT Umno

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu tiba jam 8 malam diiringi beberapa individu.

Rosmah Mansor kelihatan tiba di Menara Dato Onn ketika berlangsungnya mesyuarat MKT Umno malam ini.
KUALA LUMPUR:
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor dilihat memasuki Menara Dato’ Onn ketika berlangsungnya mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno malam ini.

Rosmah kelihatan tiba di Menara Dato’ Onn jam 8 malam diiringi beberapa individu.

Bagaimanapun, difahamkan kehadiran Rosmah dipercayai untuk bertemu pimpinan Umno dan bukannya menyertai mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden Ahmad Zahid Hamidi.

“Beliau datang untuk jumpa pemimpin Umno sahaja, bukannya menyertai mesyuarat MKT Umno, malah beliau datang sekejap sahaja,” kata sumber yang tidak mahu dinamakan kepada FMT.

Antara pemimpin MKT Umno yang dilihat hadir ialah Naib Presiden Umno, Khaled Nordin, Pengerusi Umno Terengganu, Ahmad Said, Pengerusi Umno Melaka, Ab Raof Yusoh, Shamsul Anuar Nasarah dan Razali Ibrahim.

Turut kelihatan Johari Abdul Ghani, Ahmad Puad Zarkashi dan Dira Abu Zahar.

MKT Umno akan mengadakan mesyuarat pertama malam ini sejak pembentukan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Barisan Nasional pimpinan Umno telah bersama-sama membentuk kerajaan dengan Pakatan Harapan, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah selepas ketidaktentuan politik yang berlarutan selama seminggu selepas pilihan raya umum baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.