
Presidennya, Jimmy Leong, berkata Menteri Pelancongan Tiong King Sing harus melihat kepada “pelancongan berkualiti” berbanding “pelancongan kuantiti” dengan memasarkan Malaysia sebagai destinasi percutian yang berbaloi.
Katanya, Malaysia ketinggalan di belakang negara jiran Asean sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan timbul keperluan untuk meningkatkan jumlah ketibaan pelancong.
“Asean ialah pasaran besar; malah Thailand dan negara lain sedang beralih daripada pelancongan murah.
“Oleh itu, kita harus berhenti memasarkan destinasi kita sebagai tempat percutian murah,” katanya kepada FMT.
“Kita tidak seharusnya kembali kepada era pra-wabak apabila Malaysia terlibat dalam lawatan kos sifar, yang mana (kegiatan) membeli-belah digunakan untuk menampung kos pakej percutian pelancong, terutamanya dari China.”
Beliau merujuk kepada pakej murah di mana pelancong didesak membayar harga tinggi untuk makanan, penginapan dan cenderahati.
“Ini mencemarkan imej kita dan tidak mampan,” kata Leong.
“Kami berharap menteri akan faham bahawa (perkara) ini telah mendorong industri kita ke arah yang salah.”
Bekas menteri pelancongan Nazri Aziz memberitahu FMT, beliau percaya pengalaman Tiong sebagai utusan khas ke China akan membolehkan beliau menarik ramai pelancong China ke Malaysia, sebagai antara pembelanja pelancongan utama di negara ini.
Nazri dan Leong juga berkata, kerajaan harus mempertimbangkan untuk menghidupkan semula konsep “Malaysia Truly Asia” untuk menarik pelancong dengan menawarkan pengalaman Malaysia yang tulen.
Leong berkata, jenama itu popular apabila ia diperkenalkan dan mencerminkan identiti Malaysia dalam sektor pelancongan.
“Konsep ini terbukti berjaya memasarkan destinasi dan produk kita kepada dunia,” katanya.
“Ia menggambarkan Malaysia dengan baik dalam tiga perkataan mudah.”
Katanya, konsep itu boleh dikemas kini supaya pelancong dapat diperkenalkan dengan acara dan pengalaman tempatan yang menonjolkan budaya Malaysia melalui makanan, inap desa dan gaya hidup tempatan.