
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hashim Hamzah, Abdul Karim Jalil dan Supang Lian sebulat suara menetapkan keputusan itu.
Keputusan dicapai susulan mahkamah mendapati bahawa Perintah 17, Perintah Pengangkutan Jalan (LKB) (MPKB) 2000 adalah ultra-vires dengan seksyen 72(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa Perintah 8 di bawah Perintah yang sama masih sah dan MPKB masih boleh mengenakan kompaun bagi kesalahan berkaitan tempat letak kereta.
Peguam Hisham Fauzi yang mewakili perayu dalam kes ini ketika dihubungi berkata, MPKB masih dibenarkan untuk mengunci kereta jika kenderaan itu diletakkan di kawasan larangan atau bukan di petak tempat letak kereta.
Berikutan itu, MPKB tidak lagi boleh mengunci tayar kereta yang diletakkan di dalam petak letak kereta dan hanya boleh mengenakan kompaun sahaja.
Perayu dalam kes itu ialah Nursyafawati Kasim yang diwakili peguam; Hisham Fauzi, Ang Khai Wei, Majdah Muhammad dan Haziratul Aqilah Huzailing, manakala peguam Marwalis Adam dan Shaharuddin Mohamed mewakili MPKB.
Mahkamah juga mengarahkan MPKB membayar kos RM5,000 kepada Nursyafawati.