LRT laluan Kelana Jaya dijangka alami gangguan, kata Loke

LRT laluan Kelana Jaya dijangka alami gangguan, kata Loke

Menteri pengangkutan memohon maaf kepada penumpang kerana gangguan ini dijangka berterusan sehingga suku ketiga 2023.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata perkhidmatan LRT Kelana Jaya masih belum stabil sepenuhnya.
KUALA LUMPUR:
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook memberitahu penumpang  pihaknya menjangkakan berlaku gangguan LRT laluan Kelana Jaya dalam beberapa bulan akan datang.

Pada sidang akhbar di sini, Loke memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan berkata, gangguan ini dijangka berterusan sehingga suku ketiga 2023.

“Kami melakukan segala yang kami mampu untuk memastikan gangguan ini tidak berlaku dengan kerap.

“Setakat ini, perkhidmatan kami tidak stabil sepenuhnya dan saya minta maaf untuk itu,” katanya.

Loke berkata, terdapat 56 set tren LRT untuk laluan Kelana Jaya, di mana 18 daripadanya diselenggara, bermakna hanya 38 sedang digunakan.

Beliau berkata, inilah sebabnya mengapa kekerapan tren dijadualkan setiap lima minit sejak kebelakangan ini, walaupun pada waktu puncak.

“Sebaik sahaja 18 tren itu kembali beroperasi, selang masa antara tren akan dikurangkan kepada tiga minit,” katanya.

Katanya, Prasarana sudah menempah 19 lagi set tren dengan yang pertama dijangka tiba pada Ogos.

“Saya juga menggesa Prasarana menyegerakan penyelenggaraan 18 set tren itu. Kami berharap menjelang Jun tahun depan semuanya akan stabil,” katanya.

Tak puas hati

Loke yang membuat lawatan mengejut bagi meninjau perkhidmatan LRT ketika waktu puncak berkata, beliau tidak berpuas hati dengan pengalaman dilaluinya.

“Sebab itu saya di sini. (Hakikatnya) saya di sini bermakna ada masalah dan pihak pengurusan mengakuinya. Sebab itu kami berada di sini membincangkan penyelesaian untuk menjadikan perkhidmatan lebih baik untuk penumpang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata firma perkhidmatan kejuruteraan bebas, WSP akan menjalankan siasatan berhubung penutupan lima hari 16 stesen LRT bulan lalu.

Stesen terjejas ialah Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Bangsar, Abdullah Hukum, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.

Ia ditutup susulan kerosakan sistem kawalan tren automatik (ATC). Menteri pengangkutan ketika itu Wee Ka Siong berkata, Prasarana mempunyai pilihan untuk mengendalikan tren secara manual, tetapi tidak cukup yakin untuk berbuat demikian.

Stesen itu dibuka semula selepas modem dan bekalan kuasa untuk trek diganti. Bagaimanapun, tidak lama kemudian, laluan LRT terus mengalami beberapa isu teknikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.