Kita kaji dulu, kata MB Perlis berkait tamat lesen judi

Kita kaji dulu, kata MB Perlis berkait tamat lesen judi

Menteri besar Perlis berkata perbincangan akan dijalankan melibatkan pelbagai pihak sebelum keputusan dibuat berhubung penamatan lesen premis perjudian.

Menteri Besar Perlis Shukri Ramli minta kerajaan negeri diberi peluang untuk menjalankan kajian penamatan lesen premis perjudian.
PETALING JAYA:
Kajian akan dijalankan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berkaitan penamatan lesen premis perjudian termasuk ejen nombor ramalan, kata Menteri Besar Perlis Shukri Ramli.

Justeru, Shukri meminta pihaknya diberi peluang untuk mengkaji sebelum membuat sebarang keputusan membabitkan perkara itu.

“Kita akan terus berbincang dengan pelbagai pihak dan memastikan apa langkah untuk selepas ini (terhadap pembatalan lesen premis perjudian).

“Jadi, saya tak mahu menyatakan sebarang pandangan A atau B dahulu terhadap perkara ini kerana kami perlu putuskan secara kolektif,” katanya menurut Harian Metro.

Shukri berkata, buat masa ini pihaknya akan melihat dan mendapat pandangan daripada semua pihak sebelum membuat keputusan.

Sebelum ini, negeri bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) terutama PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah sudah menamatkan semua lesen perjudian dan kelab persatuan (judi) di negeri berkenaan.

Malah, tindakan sama turut didesak kepada kerajaan Perlis selepas PN berjaya membentuk kerajaan di negeri itu apabila memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN pada PRU15 lalu.

Sebelum itu juga, kerajaan Kedah sudah menetapkan tidak lagi menyambung lesen perjudian di negeri itu dan akan ditamatkan pada 31 Dis ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.