
Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Norlizah Noh berkata, selain SKMM, MDJ juga akan berbincang dengan Cyber Security Malaysia, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) serta polis.
“(Kerjasama ini) bagi tujuan mengesan dan mengenal pasti pihak-pihak atau individu yang tidak bertanggungjawab dalam menyebar luas maklumat palsu dan tidak benar bagi tujuan proses perundangan,” katanya pada sesi penggulungan sidang DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini.
“Beberapa sesi perbincangan akan diadakan bersama pemegang-pemegang taruh berkaitan bagi mencapai satu bentuk kerjasama yang dapat diguna pakai bagi tujuan membendung bukan sahaja berita palsu, malah juga dari segi perundangan yang boleh dikuatkuasa kepada pesalah-pesalah siber ini.
Beliau merujuk kepada cadangan Mohamad Najib Samuri (BN-Parit Yaani) agar MDJ diberikan tugas yang lebih mencabar, dalam berperanan untuk menangani isu maklumat tidak sahih.
MDJ yang dilancarkan pada 19 Okt tahun ini, ialah jabatan kerajaan negeri yang berperanan sebagai pusat hebahan, yang mengurus dan menyelaras perkongsian maklumat berkaitan hebahan dasar, inisiatif serta program rasmi kerajaan negeri termasuk rakyat dan negeri Johor menerusi platform media sosial.