
Ramli Mohd Nor berkata, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) amat memerlukan pembaikan kerana setakat ini, ia tidak menjalankan tugas dengan baik dalam membantu komuniti itu.
“Kualiti kerja (Jakoa) teruk,” katanya kepada FMT, mendakwa rumah dan infrastruktur yang disediakan buat komuniti itu tidak dibina mengikut spesifikasi.
Ahli Parlimen Cameron Highlands itu berkata, Jakoa kekurangan tenaga kerja dan ramai yang berkhidmat di jabatan itu terdiri daripada penjawat awam berpangkat rendah.
Secara purata, katanya, hanya terdapat tiga pegawai Jakoa di setiap daerah untuk membantu komuniti Orang Asli.
“Saya sudah memberitahu Ketua Pengarah Jakoa Sapiah Mohd Nor untuk menambah bilangan pegawai yang mempunyai pengalaman dan kepakaran diperlukan.
“Pegawai bergred rendah tidak boleh mempengerusikan mesyuarat mengenai projek bernilai ratusan ribu atau jutaan ringgit,” katanya.
Pegawai Jakoa perlu mempunyai lebih perasaan empati terhadap Orang Asli, kata Ramli, yang memetik satu kes yang dibawa ke perhatiannya sebagai contoh.
“Seorang warga emas meminta bantuan untuk anaknya yang ingin melanjutkan pengajian, dan pegawai Jakoa memintanya pergi ke kafe siber untuk mengisi borang dalam talian.
“Bagaimana seseorang yang tidak pernah pun melihat komputer seumur hidupnya hendak berbuat begitu? Ini lah maksud saya, perlu ada empati,” katanya.
FMT telah menghubungi Jakoa untuk mendapatkan komen.