Ubah pemikiran ‘orang lama’ terima teknologi digital, Fahmi diberitahu

Ubah pemikiran ‘orang lama’ terima teknologi digital, Fahmi diberitahu

Pemain teknologi berkata ia adalah perjuangan pertama menteri komunikasi digital itu untuk melakukan transformasi.

Fahmi Fadzil memulakan tugas rasmi di Kementerian Komunikasi Digital di Putrajaya pada Isnin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dengan Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil menerajui Kementerian Komunikasi Digital, pemain teknologi berhasrat melihat beliau menerajui transformasi digital melalui penyesuaian digital dan memajukan literasi digital.

Ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat keselamatan siber NovemCS, Murugason Thangaratnam, berkata perjuangan pertama Fahmi adalah memastikan “orang lama” dalam kerajaan mengubah minda mereka ke arah transformasi digital supaya mereka benar-benar menerimanya.

“Teknologi hanyalah alat atau pemboleh upaya. Yang perlu bekerjasama ialah orang dan prosesnya supaya dapat memaksimumkan kecekapan.

“Fahmi perlu menyampaikan mesej kepada ‘orang lama’ dalam kerajaan bahawa isu terbesar ialah transformasi minda,” kata Murugason kepada FMT.

Katanya, bersuara lantang dan selaras dengan jangkaan serta ancaman dalam dunia digital menjadikan Fahmi sebagai orang yang sesuai untuk jawatan itu.

Manakala CEO syarikat penyelesaian digital Censof Digital, mengalu-alukan pelantikan Fahmi dan berharap lebih banyak dasar boleh dilaksanakan untuk merapatkan jurang digital dan menggalakkan industri menyesuaikan diri dengan penyelesaian pintar yang diperkenalkan dalam Revolusi Perindustrian ke-4 (IR 4.0).

Beliau menggesa kementerian itu menggalakkan kolaborasi dalam kalangan pengendali rangkaian, pemain teknologi dan syarikat untuk menggunakan penyelesaian berasaskan 5G dalam industri utama bagi menjadikannya lebih cekap.

“Ini harus dilakukan terutamanya untuk sektor perubatan, pembuatan dan pengangkutan,” katanya sambil menambah bahawa 5G juga akan membolehkan Malaysia membangunkan bangunan pintar dan bandar pintar.

Bagi pengguna, Vicks berkata tumpuan harus diberikan kepada pengukuhan sambungan 4G di seluruh negara berbanding menyediakan liputan 5G kerana 4G adalah lebih daripada mencukupi untuk pengguna biasa.

“5G lebih direka untuk penyelesaian perniagaan ke perniagaan dan berdasarkan kawasan operasi. Oleh itu, tidak perlu membazir wang pada masa ini untuk mempunyai liputan di seluruh negara, dan adalah lebih bijak untuk melihat 5G bagi pengguna mulai 2026 dan seterusnya,” katanya.

Beliau mencadangkan program penilaian digital dan keselamatan siber untuk menilai tahap kesedaran mengenai semua perkara mengenai digital.

Beliau juga berharap Fahmi akan mempertimbangkan untuk mewujudkan platform pertukaran digital untuk pihak berkepentingan bagi bekerjasama dan bersama-sama mencipta penyelesaian digital demi menangani beberapa perkara penting negara.

“Dapatkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk menerajui program ini, yang membolehkan perusahaan, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan syarikat baru berteknologi bekerjasama dan mencipta bersama penyelesaian digital untuk menangani masalah khusus seperti keselamatan makanan, penjagaan kesihatan dan penduduk yang semakin menua dan perubahan iklim,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.