Polis siasat individu muat naik video tular cemar imej PDRM

Polis siasat individu muat naik video tular cemar imej PDRM

Menurut polis klip video dimuat naik di TikTok itu turut disertakan dengan kapsyen menyindir yang boleh menjatuhkan imej PDRM.

Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kata polis.
KUALA LUMPUR:
Polis sedang menyiasat satu video berunsur fitnah terhadap seorang anggota polis trafik yang sedang menjalankan tugas dalam operasi penguatkuasaan lalu lintas di Petaling Jaya di sini yang tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pihaknya mengesan video yang dimuat naik di aplikasi TikTok itu pada 6.30 petang kelmarin.

“Klip video dimuat naik pemilik akaun @goodmorninglim memaparkan seorang pegawai polis sedang bertugas semasa operasi penguatkuasaan lalu lintas berhampiran lampu isyarat Jalan PJS 3/44 bagi mengesan pemandu yang menggunakan alat komunikasi semasa memandu.

“Video tersebut turut disertakan dengan kapsyen menyindir iaitu “05/12 Look got people here (Lihat ada orang di sini) cari makan” dan emoji muka ketawa bersama karung wang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata perbuatan individu memuat naik video klip tersebut boleh mendorong masyarakat memandang serong terhadap tugas polis selaku penjawat awam dan menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan fitnah dan penyalahgunaan media sosial.

“Polis menasihatkan masyarakat supaya tidak menyalahgunakan media sosial, menyebarkan berita tidak benar dan membuat spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya.

Kelmarin, tular di media sosial satu video berdurasi 25 saat dimuat naik individu berkenaan yang memaparkan seorang anggota polis trafik sedang menjalankan tugas berhampiran lampu isyarat di Petaling Jaya beserta kapsyen berunsur negatif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.