
Dalam kenyataan, presiden Malaysian Advancement Party (MAP) itu menggesa semua pemimpin mengetepikan ego, sambil menambah bahawa Sivakumar memerlukan sokongan mereka untuk memenuhi keperluan masyarakat India dengan berkesan.
“Menteri-menteri India terdahulu seperti M Kula Segaran, Gobind Singh Deo, SA Vigneswaran, M Saravanan dan saya sendiri boleh bekerjasama untuk memastikan agenda komuniti India berada di landasan yang betul.
“Ego dan perbezaan peribadi tidak sepatutnya menjadi penghalang antara keperluan masyarakat India yang lebih besar,” katanya.
Sambil menyifatkan kerajaan sedia ada sebagai “norma baharu dalam pembangunan dan kematangan politik”, beliau berkata ia adalah demi kepentingan negara untuk semua orang bekerjasama walaupun berbeza ideologi politik.
Waytha, penggerak utama perhimpunan Hindraf pada 2007, juga mencadangkan agar Sivakumar mempengerusikan dialog terbuka dengan pemimpin semua parti politik untuk melakarkan masa depan masyarakat India.
Tambahnya, sebarang cadangan dibuat susulan perbincangan sedemikian kemudiannya boleh dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk diluluskan.
Semalam, Sivakumar berkata tanggungjawab menjaga kesejahteraan semua rakyat Malaysia termasuk masyarakat India dikongsi bersama oleh semua anggota Jemaah Menteri dalam kerajaan, bukan semata-mata menteri sebangsa.
Ahli Parlimen Batu Gajah itu berkata masih ramai wakil masyarakat di Dewan Rakyat yang boleh membantu kerajaan membuat dasar seimbang tanpa meminggirkan mana-mana kaum.