
Azalina berkata, susulan itu Jabatan Peguam Negara akan menyediakan satu kertas pelan pengubahsuaian.
“Ini langkah pertama ke arah pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya dan saya berharap kerjasama baik antara Jabatan Peguam Negara dan pihak kami di Pejabat Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi akan membuahkan hasil secepat mungkin, insya-Allah,” katanya di Facebook.
Azalina berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Pejabat Peguam Negara (AGC) yang diketuai Peguam Cara Negara, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, semalam untuk taklimat mengenai usaha bagi melakukan pengasingan kuasa itu.
Sebelum ini selepas dilantik sebagai menteri, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata fokus utamanya adalah untuk menyemak semula undang-undang “lapuk” dan membuat pindaan diperlukan agar relevan pada masa kini.
Ia termasuklah usaha pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya untuk memelihara kebebasan budi bicara pendakwa raya.