Siasatan perbelanjaan kerajaan PN mesti telus, kerajaan diberitahu

Siasatan perbelanjaan kerajaan PN mesti telus, kerajaan diberitahu

Kumpulan antirasuah, C4 mencadangkan siasatan diketuai Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara kerana ia badan bipartisan yang bertanggungjawab kepada Parlimen.

Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin menafikan sebarang salah laku dalam perbelanjaan kerajaan berjumlah RM530 bilion ketika pandemik.
KUALA LUMPUR:
Sebarang siasatan ke atas dakwaan penyelewengan dana berbilion ringgit oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu dilakukan secara telus, kata Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

Kumpulan antirasuah itu berkata, Putrajaya mesti memberi butiran agensi yang mengetuai siasatan itu dan mencadangkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berbuat demikian kerana ia badan bipartisan yang bertanggungjawab kepada Parlimen.

“Laporan kemajuan siasatan mesti didedahkan dan boleh diakses orang awam, serta garis masa sementara bila siasatan itu dijangka siap dan penemuan boleh dibentangkan kepada umum, yang mesti dibentangkan di Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, terdapat pelanggaran prosedur serius dalam perbelanjaan kerajaan ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Beberapa laporan juga dibuat terhadap kerajaan PN berhubung perbelanjaan RM600 bilion ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun, pengerusi PN itu beberapa kali menafikan melakukan sebarang salah laku dan berkata, beliau sedia disiasat dan didakwa di mahkamah.

Muhyiddin berkata, kerajaannya membelanjakan RM530 bilion, bukannya RM600 bilion seperti didakwa sesetengah pihak, menerusi lapan pakej rangsangan ketika pandemik dan perintah kawalan pergerakan.

C4 mengulangi gesaan pembaharuan bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam tadbir urus, seperti penggubalan Akta Perolehan dan Akta Pembiayaan Politik.

Ia turut menggesa penubuhan mahkamah rasuah yang terdiri daripada hakim dilatih khas dalam undang-undang berkaitan rasuah.

“Ini akan mempercepatkan penyelesaian kes, yang ketika ini sering ditangguhkan dan mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.