
Saifuddin berkata, beliau akan mendapatkan pandangan daripada ketua polis negara itu mengenai isu dibangkitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam sidang medianya semalam.
“Beliau (Anwar) juga ada membuat satu kenyataan umum pada semalam dan (Anwar berkata) akan serahkan (isu itu) kepada satu badan siasatan untuk meneliti perkara itu secara spesifik.
“Sudah tentu saya akan dapatkan pandangan daripada pihak badan siasatan berkaitan, kalau ia berkaitan PDRM ia dalam bidang kuasa kita, jika berkaitan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tentu mereka siasat,” katanya.
Saifuddin berkata demikian pada sidang media selepas menerima sesi taklimat Kementerian Dalam Negeri (KDN) oleh Ketua Setiausaha KDN Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz di Kompleks KDN, di sini, hari ini.
Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik Covid-19 pernah dibangkitkan bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari pada 15 Nov lepas.
Semalam juga, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata beliau tidak takut untuk disiasat susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM600 bilion ketika mengetuai pentadbiran sebelum ini.
Sementara itu, mengulas sama ada polis akan membuka kertas siasatan ke atas Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor berhubung dakwaan politik wang semasa PRU15 sebelum ini, beliau berkata ia akan disiasat jika mempunyai asas kukuh.
“Saya percaya tentang tahap profesionalisme pasukan polis, saya berikan sepenuh ruang dan kebebasan kepada Acryl dan pasukannya,” katanya.
Sebelum ini, pihak berkuasa digesa supaya menyiasat kenyataan Sanusi berhubung penyokong PN yang menuntut ganjaran kerana pulang mengundi.
Sementara itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh membuka ruang salah faham atau membangkitkan sentimen yang mengancam kehidupan harmoni dalam negara.
Terdahulu Saifuddin tiba dan mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas rasminya di kementerian itu pada 9.28 pagi sebelum diberi taklimat pengurusan KDN yang disampaikan oleh Wan Ahmad Dahlan.