PRN P Pinang mungkin Mei atau Jun, kata KM

PRN P Pinang mungkin Mei atau Jun, kata KM

Chow Kon Yeow berkata, kepimpinan PH mahu melengkapkan penggal lima tahun di negeri ditadbir gabungan itu yang berakhir Mei 2023.

Chow Kon Yeow berkata, masa terbaik mengadakan PRN adalah Mei atau Jun depan, selepas mempertimbangkan cuti perayaan dan peperiksaan SPM.
GEORGE TOWN:
Pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang mungkin diadakan pada Mei atau Jun depan, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Katanya, ini berdasarkan perbincangan tidak rasmi dengan kepimpinan Pakatan Harapan (PH), yang mahu melengkapkan penggal lima tahun, berakhir Mei 2023.

“Kita juga mengambil kira perayaan Tahun Baharu Cina, Aidilfitri dan Hari Raya Haji, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan faktor lain sebelum membuat keputusan.

“Masa yang ada adalah Mei atau Jun, tetapi buat masa ini, tiada perbincangan rasmi lagi,” katanya dalam sebuah majlis di Perai.

Mengulas desakan PAS yang mahu negeri dikuasai parti itu segera mengadakan PRN, Chow berkata, itu terpulang kepada parti terbabit.

Penggal Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang akan tamat 2 Ogos 2023, dan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh dua bulan selepas itu.

Chow sebelum ini berkata, Pulau Pinang terbuka mengadakan PRN serentak dengan negeri lain.

Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang ditadbir PH, serta Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dikuasai PAS, sebelum ini memutuskan tidak mengadakan PRN serentak dengan pilihan raya umum pada 19 Nov lalu.

Bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Wan Ahmad Wan Omar mencadangkan negeri berkenaan mengadakan PRN serentak pada Julai depan kerana umat Islam yang menunaikan haji sudah pulang ke tanah air dan ia akan memastikan peratusan keluar mengundi lebih tinggi.

Wan Ahmad menasihatkan negeri terbabit tidak mengadakan PRN berasingan kerana perbelanjaan mungkin meningkat melebihi RM500 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.