
Polis menemui 158kg daun ketum yang dianggarkan bernilai hampir RM5,000 dalam but Toyota Vios, dengan pemandunya berusia 24 tahun parah di kepala, dada dan kaki selepas tersepit dalam kereta itu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu suspek dari arah Kuala Krai ke Gua Musang dipercayai hilang kawalan, sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung Honda City dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun.
“Siasatan mendapati semua daun ketum yang ditemui itu bernilai RM4,740,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pemandu Honda City itu patah tangan kanan dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan lanjut, dengan suspek itu dalam keadaan kritikal.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.