
Bekas menteri alam sekitar dan air itu menegaskan sebagai perdana menteri, Anwar seharusnya maklum bahawa projek kecemasan perlu disegerakan bagi mengurangkan bencana lebih besar dan kerugian lebih banyak.
Tambahnya, rundingan terus bagi projek tebatan banjir yang perlu disegerakan, bukan satu kesalahan perolehan.
“Ia mestilah terpaksa dilakukan melalui kaedah runding terus atau tender terpilih khususnya yang melibatkan bencana seperti banjir, empangan pecah, tanah runtuh dan lain.
“Namun, sekali lagi saya tegaskan ia mesti mematuhi prosedur kewangan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.
Tuan Ibrahim yang juga timbalan presiden PAS mengulas mengenai tindakan perdana menteri mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion diteliti semula yang didakwanya sebagai “tidak teratur”.
Tegas Anwar, alasan membantu menyegerakan projek tebatan banjir dengan tidak mematuhi peraturan adalah amat dikesalkan dan umpama mencari kesempatan.
“Saya juga tekankan beberapa kelulusan mutakhir termasuk kelulusan tebatan banjir yang peruntukannya sekitar RM15 bilion dan RM7 bilion sudah diluluskan tanpa proses tender secara teratur melalui rundingan terus.
“Saya telah minta fail itu tidak diteruskan, diteliti semula supaya ada prinsip ketelusan dan juga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang media di Kementerian Kewangan.