Projek hidrokuasa skala besar di Sarawak ‘tak mampan dan tak perlu’

Projek hidrokuasa skala besar di Sarawak ‘tak mampan dan tak perlu’

NGO Save Rivers khuatir Sarawak Energy kembali menganjurkan pembinaan empangan mega di negeri itu.

Kajian mencadangkan bahawa pembinaan empangan mega, seperti empangan Bakun di Sarawak, tidak munasabah dari segi ekonomi di kawasan tropika. (Gambar Bernama)
MIRI:
Hidrokuasa berskala besar tidak boleh dianggap sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui untuk Sarawak kerana kesannya yang merosakkan terhadap alam sekitar dan masyarakat Orang Asli, kata kumpulan masyarakat sivil yang berpangkalan di Sarawak.

SAVE Rivers berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Naib Presiden Sarawak Energy Bhd (SEB) Ting Ching Zung semasa perbincangan panel pada Persidangan Go ESG ASEAN 2022 pada 24 Nov.

“Kami khuatir apabila mendengar SEB sekali lagi mempromosikan empangan mega,” kata James Nyurang dari Tanjung Tepalit, Baram, salah satu komuniti yang terancam jika pembinaan empangan Baram diteruskan.

“Kami sangat gembira kerana SEB akhirnya memberi tumpuan kepada keperluan komuniti dengan projek solar mereka yang benar-benar meningkatkan kualiti hidup di kampung kami.

“Inilah pembangunan yang kami mahu. Namun empangan bukanlah pembangunan tetapi kemusnahan,” tambahnya.

SAVE Rivers Peter Kallang berkata, jika Sarawak Energy mahu menguji reaksi dengan kenyataannya, “penduduk Baram bersedia berjuang pada bila-bila masa jika SEB mahu menghidupkan semula rancangan empangannya yang sudah lapuk”.

NGO itu ditubuhkan pada 2011 mewakili komuniti di Baram menentang cadangan pembinaan empangan itu.

Ting mencadangkan bahawa hidrokuasa berskala besar harus diiktiraf sebagai pembekal asas tenaga boleh diperbaharui kerana ia paling sesuai, boleh dipercayai dan berpatutan untuk negara membangun, khususnya di Asia Tenggara.

Sebagai penyedia tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia, SEB terus mencipta ruang untuk pertumbuhan ke arah merealisasikan aspirasinya menjadi kuasa besar tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara, katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih wujud suara-suara yang mempersoalkan sama ada hidrokuasa berskala besar ialah sumber tenaga boleh diperbaharui hijau.

Beliau berkata, jumlah kapasiti terpasang Sarawak Energy bagi loji hidro besar setakat ini berjumlah 3,452 megawatt.

Sebagai tindak balas, SAVE Rivers berkata, kesan global empangan mega telah dicatatkan dengan baik.

Menurutnya, sebuah kajian pada 2016 yang disebut dalam jurnal BioScience oleh American Institute of Biological Sciences mendapati empangan hidroelektrik melepaskan sebilion tan gas rumah hijau setahun, membentuk 1.3% daripada pelepasan gas sedunia disebabkan manusia.

Di setiap empangan besar, terdapat takungan yang besar dan di dasar takungan empangan tropika, gas metana – gas rumah hijau yang kuat – dihasilkan. Ini menyumbang kepada pemanasan global sama seperti industri penerbangan, katanya.

Sebuah kajian juga menunjukkan bahawa membina empangan mega tidak munasabah dari segi ekonomi di kawasan tropika.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.