Pelancaran 5G akan disemak semula, kata PM

Pelancaran 5G akan disemak semula, kata PM

Anwar Ibrahim berkata, ini perlu untuk memastikan pihak berkaitan sudah mematuhi prosedur ketat.

Liputan 5G di negara ini melebihi 30% di kawasan berpenduduk dan kerajaan menetapkan sasaran 80% menjelang 2024.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengarahkan pelancaran rangkaian 5G kerajaan disemak semula.

Katanya, ini perlu bagi memastikan pihak berkaitan mematuhi prosedur ketat.

“Saya telah mengarahkan perjanjian itu disemak semula kerana ia tidak dilakukan secara telus, tanpa tender sewajarnya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri pertamanya.

Oktober lalu, Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Zafrul Aziz dilaporkan berkata, semua enam syarikat telekomunikasi utama negara telah menandatangani perjanjian penyediaan akses 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB).

Syarikat itu ialah Maxis, U Mobile, Celcom Axiata, Digi, YTL Communications dan Telekom.

Liputan 5G di negara ini melebihi 30% di kawasan berpenduduk dan kerajaan menetapkan sasaran 80% menjelang 2024.

Dakwaan kerajaan PN seleweng RM600 bilion

Anwar menafikan membuat laporan polis berhubung dakwaan penyelewengan RM600 bilion tanpa tender di bawah pentadbiran Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin.

“(Menyiasat dakwaan) itu bukan urusan saya untuk memutuskan…Kementerian Kewangan ada diberi makluman mengenai pelanggaran itu, tetapi ia terserah kepada badan siasatan untuk melihat sejauh mana pelanggaran atau rasuah berlaku.”

Katanya, cadangan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan itu belum dibincangkan Jemaah Menteri.

“…saya serah kepada rakan-rakan Jemaah Menteri untuk menilai hal demikian.

“Tapi setakat saya tahu dan diberi makluman, ada beberapa pelanggaran serius, terutama bila luluskan projek, perolehan terlalu banyak, ‘marked up’ tinggi, pihak tertentu belanja tinggi menunjukkan keupayaan mereka berbelanja luar biasa.”

Selasa lalu, Anwar mengumumkan proses perolehan kerajaan tanpa tender tidak dibenarkan lagi untuk memastikan rasuah dan ketirisan tidak berterusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.