
Beliau yang memulakan tugas secara rasmi di Kementerian Komunikasi Digital hari ini berkata, pertemuan itu akan turut memberi ruang kepadanya memahami kerangka kawal selia setiap penyedia perkhidmatan media sosial.
Pertemuan itu, katanya, untuk membolehkan penyedia perkhidmatan media sosial lebih prihatin terhadap undang-undang negara serta keperluan menjaga keharmonian serta perpaduan rakyat.
“Saya berharap mereka akan dapat membantu (kementerian) ke arah usaha ini,” katanya selepas taklimat dikendalikan Ketua Setiausaha Mohammad Mentek yang turut dihadiri pengurusan tertinggi kementerian serta ketua jabatan.
“Kita mulakan pertemuan ini (dengan TikTok hari ini) sebab sebaran video di TikTok, terutama mengenai peristiwa 13 Mei sangat merisaukan. Insya Allah kita akan jemput penyedia perkhidmatan media sosial lain dalam masa terdekat.”
Mengenai taklimat itu, Fahmi berkata, isu penyebaran maklumat palsu dan kandungan agresif antara perkara utama perbincangan yang ditekankan 11 agensi dan tiga jabatan di bawah Kementerian Komunikasi Digital.
Turut dibincangkan isu perlindungan data peribadi bagi menangani penipuan dalam talian serta belanjawan kementerian bagi 2023.
“Mengenai bajet, ia ada dibangkitkan dalam taklimat tadi. Saya perlu dapatkan perincian daripada kementerian kerana saya perlu faham untuk dapatkan gambaran menyeluruh.”
Mengenai cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia, Fahmi berkata, beliau perlu mendapatkan perincian berhubung perkara itu daripada pemain industri media, khususnya persatuan wartawan.
Beliau turut memberi jaminan kebebasan media akan diberi keutamaan, termasuk aspek kebajikan pengamal media di negara ini.
Cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia disuarakan peserta Wacana Hari Wartawan Nasional (Hawana) pada 2018 yang mewakili pelbagai pertubuhan media di seluruh negara.