Tak perlu undang-undang baharu kekang ucapan kebencian, kata bekas presiden Majlis Peguam

Tak perlu undang-undang baharu kekang ucapan kebencian, kata bekas presiden Majlis Peguam

Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan sudah wujud untuk digunakan bagi tujuan itu, kata Salim Bashir.

Bekas presiden Majlis Peguam Salim Bashir berkata, sebarang undang-undang lanjut untuk menyekat kebebasan bersuara dan ekspresi ialah langkah regresif.
PETALING JAYA:
Bekas presiden Majlis Peguam Salim Bashir tidak melihat wujudnya keperluan undang-undang baharu untuk mengekang ucapan kebencian, kerana katanya, undang-undang semasa sudah memadai untuk menangani perkara itu.

Beliau memetik Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan sebagai antara undang-undang yang boleh digunakan untuk memerangi jenayah kebencian.

Bagaimanapun, beliau memberitahu FMT bahawa “sebarang undang-undang lanjut untuk menyekat kebebasan bersuara dan ekspresi ialah langkah regresif, walaupun beberapa undang-undang sedia sudah dianggap menindas.”

Seorang aktivis hak asasi manusia Zaid Malek berkata, pertimbangan teliti perlu dibuat apabila membentangkan sebarang undang-undang anti-ucapan kebencian, disebabkan wujudnya sejarah yang panjang berhubung penyalahgunaan eksekutif undang-undang seperti Akta Hasutan.

Zaid Malek.

“Bahaya apabila kerajaan mempunyai kuasa untuk menentukan apa yang bersifat kebencian, jadi undang-undang sebegitu akan memerlukan semak dan imbang yang ketat,” katanya.

Zaid, yang juga pengarah kumpulan Lawyers for Liberty, berkata undang-undang sedia ada yang bersifat menindas juga mesti dimansuhkan sebelum sebarang undang-undang baharu diperkenalkan.

“Jika tidak, kita hanya akan menyediakan lebih banyak undang-undang bersifat menindas untuk digunakan oleh kerajaan terhadap rakyat.”

Pada Khamis, Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung menggesa undang-undang anti-kebencian diwujudkan berikutan pelbagai kenyataan pemimpin PAS yang dianggap menghasut.

Lee, yang juga pengarah komunikasi PKR, berkata serangan yang menyakitkan hati itu bermula beberapa bulan sebelum PRU pada November, menjadi semakin rancak selepas Parlimen dibubarkan dan memuncak apabila Perikatan Nasional (PN) gagal membentuk kerajaan.

Gesaan serupa agar undang-undang baharu diwujudkan datang daripada G25, sebuah pertubuhan orang Melayu berpengaruh, yang mencadangkan akta keharmonian kaum dan agama yang akan menjadikan kegiatan menghasut kebencian kaum atau agama sebagai satu kesalahan.

Bagaimanapun, Salim berkata, undang-undang tidak boleh digunakan untuk menyekat pendapat yang tidak disukai atau mengkritik kerana ini menghalang perbahasan dan pandangan daripada orang ramai mahupun ahli politik.

Beliau berkata, pihak yang terjejas dengan kenyataan sebegitu boleh mengemukakan saman sivil untuk menuntut ganti rugi atas fitnah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.