
Beliau berkata, pihak berkuasa negeri mesti meningkatkan kualiti dan bekalan air jika mereka mahu rakyat membayarnya.
Santiago memberitahu FMT, isu air di Kelantan telah diketahui sejak bertahun-tahun.
Pada Rabu, dilaporkan sebanyak RM28.5 juta bil air gagal dibayar oleh penduduk kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) setakat 30 Sept lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Azami Mohd Nor, berkata RM18.4 juta adalah tunggakan semasa pengguna.
Santiago berkata, pihak berkuasa Kelantan mesti memperbaharui pengurusan sumber air dan menambah baik perkhidmatan mereka.
“Melabur dalam menaik taraf infrastruktur, pastikan ia disampaikan tepat masanya dan sediakan air minuman selamat diminum sebelum mengharapkan pengguna membayar tunggakan mereka,” katanya.
“Jika ia berlaku sekali sahaja (perkhidmatan yang teruk), rakyat bersedia memaafkannya. Tetapi ia adalah masalah yang berterusan dan rakyat tidak dapat menerimanya.”
Naib Presiden Pergerakan Pengguna Malaysia Beninder Johl berkata, ramai di Kelantan sedang bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi, dan AKSB harus mencari cara untuk menggalakkan orang ramai membayar bil mereka.
Katanya, syarikat itu perlu melibatkan diri dengan pengguna untuk meningkatkan kesedaran tentang proses bekalan air dan kepentingan menyelesaikan bil mereka.