Kamu jagalah parti sendiri, Annuar beritahu calon PN Padang Serai

Kamu jagalah parti sendiri, Annuar beritahu calon PN Padang Serai

Kenyataan itu menyusul dakwaan Azman Nasarudin bahawa wujud gerakan oleh pemimpin Umno untuk mengalahkan presiden Ahmad Zahid Hamidi pada pemilihan parti.

Annuar Musa meminta calon PN Padang Serai Azman Nasarudin jangan mencampuri urusan Umno.
PETALING JAYA:
Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa mengingatkan calon Perikatan Nasional (PN) Padang Serai, Azman Nasarudin menjaga partinya dan jangan mencampuri urusan Umno.

Kenyataan itu menyusul dakwaan Azman dalam satu ceramah kempen PRU15 bahawa wujud gerakan oleh pemimpin Umno untuk mengalahkan presiden Ahmad Zahid Hamidi pada pemilihan parti itu.

“Dia jaga parti dia (Azman) sahajalah, urusan Umno biar Umno tentukan,” katanya kepada FMT.

Menerusi video dimuat naik pengguna Twitter dengan nama “Ibn_Hurairah”, menunjukkan calon Parlimen Padang serai itu turut menyebut Annuar Musa, Khairy Jamaluddin dan Hishammuddin Hussein antara pemimpin Umno terlibat dalam gerakan berkenaan.

“Pemilihan Umno akan berlaku dalam masa enam bulan, kempen-kempen oleh pemimpin yang menentang Zahid Hamidi sedang digerakkan.

“Pemimpin-pemimpin yang bukan kleptokrasi, antaranya Annuar Musa, Khairy Jamaluddin dan Hishammuddin Hussein sedang berusaha untuk mengalahkan Zahid Hamidi,” katanya.

Ditanya berhubung tindakan terhadap Azman apabila namanya turut dikaitkan, Annuar berkata beliau bersifat terbuka kerana merasakan setiap pihak bebas menyuarakan pendapat politik masing-masing.

“Ini semua politik…semua orang bebas beri pendapat,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan beberapa pemimpin Umno mendesak presiden parti itu meletakkan jawatan susulan kekalahan pada PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.