BN perlu menang di Tioman untuk imbangi kerusi DUN, kata Wan Rosdy

BN perlu menang di Tioman untuk imbangi kerusi DUN, kata Wan Rosdy

Pengerusi BN Pahang itu berkata, sokongan rakyat kepada BN semakin meningkat kerana rakyat melihat BN dan PH ikhlas membentuk kerajaan.

Pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemenangan gabungan itu di DUN Tioman penting dalam menjamin kestabilan dan kemakmuran rakyat negeri itu. (Gambar Bernama)
ROMPIN:
Barisan Nasional (BN) perlu memenangi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman bagi menjaga maruah parti dan rakan gabungannya, Pakatan Harapan (PH), kata Pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, kemenangan BN bagi menawan kerusi itu juga signifikan bagi mengimbangi jumlah kerusi di DUN Pahang dalam menjamin kestabilan dan kemakmuran rakyat di negeri itu.

Berdasarkan keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15), BN memperoleh 16 kerusi DUN, kurang satu berbanding 17 kerusi yang dimenangi Perikatan Nasional (PN), manakala PH (8).

“Kita tak ada pilihan setakat hari ini, kedudukan (sentimen pengundi) masih 50-50, tetapi saya dimaklumkan graf (sokongan kepada BN) masih meningkat.

“Sebabnya, yang pertama, kita dengan PH ikhlas dan BN pun ikhlas untuk kita menubuhkan kerajaan demi kestabilan negeri,” katanya ketika berucap dalam Program Santai Anak muda di sini semalam.

Wan Rosdy yang juga menteri besar Pahang menyeru barisan jentera parti lebih agresif bertemu seramai mungkin pengundi bagi meraih sokongan untuk menjamin kemenangan BN, khususnya pengundi muda.

Pilihan raya DUN Tioman akan berlangsung 7 Dis ini, selepas ditangguhkan ekoran kematian calon PN, Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

Pilihan raya itu menyaksikan saingan lima penjuru antara calon BN, Mohd Johari Hussain, Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH), Nor Idayu Hashim (PN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Bagaimanapun, Amanah sebelum ini memaklumkan Fadzli memberi laluan kepada Johari, mengambil kira kerjasama antara BN dan PH membentuk kerajaan Pahang selepas PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.