Perak tetap tak bekal air kepada P Pinang, kata Saarani

Perak tetap tak bekal air kepada P Pinang, kata Saarani

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata keputusan itu bukan atas alasan parti yang menerajui kedua-dua negeri tetapi kerana sumber air hanya cukup untuk kegunaan dalaman negeri itu saja.

Saarani Mohamad berkata kapasiti air Sungai Perak hanya cukup untuk kegunaan dalaman negeri itu.
IPOH:
Perak kekal dengan keputusan tidak membekalkan air mentah kepada Pulau Pinang walaupun kerajaan negeri itu kini diterajui Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, berkata keputusan itu bukan atas alasan parti yang menerajui kedua-dua negeri tetapi kerana sumber air hanya mencukupi untuk kegunaan dalaman negeri itu saja.

Katanya, pendirian Perak sebelum ini adalah muktamad iaitu, Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) kepada kerajaan Pulau Pinang tidak akan dilaksanakan.

“Dia bukan sama ada kerajaan BN atau kerajaan PH, (sebaliknya) ia berkaitan sama ada air di Perak ini mencukupi untuk kegunaan dalam negeri atau tidak. Ia bukan pasal kerajaan PH (menerajui Pulau Pinang) dan BN (menerajui Perak) sebelum ini.

“Kerana mana-mana kerajaan pun (yang mentadbir), masalah kita (di Perak) ialah kapasiti air Sungai Perak itu hanya cukup untuk kegunaan dalaman, apatah lagi di Perak kita akan bangunkan sebagai sebuah negeri perindustrian yang akan memerlukan air yang banyak,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal minggu lalu mengenai desakan ke atas kerajaan Pulau Pinang meneruskan rundingan pelaksanaan SPRWTS dengan kerajaan Perak yang kini ditadbir secara bersama BN dan PH.

Dalam laporan itu, ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang menyifatkan pentadbiran secara bersama antara BN dan PH di Perak kini sebagai peluang keemasan untuk menjayakan projek SPRWTS yang tertangguh sejak 11 tahun lalu.

Saarani pada Mac lalu turut menegaskan, keputusan itu turut mengambil kira beberapa kajian berhubung impak pengaliran keluar air dari Sungai Perak terhadap prestasi empangan janakuasa elektrik serta kegunaan sektor perkilangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.