Pemberian khas Putrajaya tiada kaitan tuntutan 40% hasil Sabah, kata Hajiji

Pemberian khas Putrajaya tiada kaitan tuntutan 40% hasil Sabah, kata Hajiji

Ketua menteri Sabah berkata pewartaan pada sidang DUN itu hanya sebagai jaminan negeri itu terus mendapat pemberian khas berkenaan.

Pemberian khas daripada Putrajaya yang diwartakan pada sidang DUN Sabah kali ini untuk pembayaran tahun ini hingga 2026, menurut Hajiji Noor. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, menegaskan perjanjian bayaran pemberian khas dipersetujui antara kerajaan negeri dan Putrajaya bukan bermaksud tuntutan 40% hasil negeri terhapus.

Katanya, pewartaan pemberian khas untuk Sabah seperti dibangkitkan dalam sidang DUN kali ini langsung tiada kena mengena dengan tuntutan 40% hasil Sabah, sebaliknya ia sebagai jaminan supaya negeri itu terus mendapat pemberian khas.

“Pemberian khas yang diwartakan adalah untuk tahun ini hingga 2026, tapi bukan bermaksud tuntutan 40% telah dihapuskan.

“Warta berkenaan bagi membolehkan kerajaan persekutuan membayar apa yang sepatutnya kepada Sabah,” katanya, menjawab celahan Assafal P Alian (Warisan-Tungku) dan Darell Leiking (Warisan-Moyog) semasa menggulung perbahasan belanjawan 2023 negeri pada sidang DUN.

Terdahulu, Hajiji berkata Sabah menerima pemberian khas dengan jumlah yang statik tanpa peningkatan, iaitu sebanyak RM26.7 juta sejak 53 tahun lalu.

“Namun, bawah pimpinan kerajaan negeri, susulan beberapa perbincangan dan rundingan, akhirnya pada April lepas, kita berjaya mencapai kata sepakat yang mana bayaran pemberian khas ditingkatkan.

Sementara itu, Hajiji berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini juga memberi jaminan perkara berkait Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dipertimbangkan secara serius.

“Mudah-mudahan perkara ini dapat direalisasikan kerana perkara ini sudah terlampau berpanjangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.