Keluar permit kerja palsu, 3 warga Bangladesh ditahan

Keluar permit kerja palsu, 3 warga Bangladesh ditahan

Suspek menjalankan kegiatan mengedar serta menjual permit palsu kepada warga asing pada harga kira-kira RM200, kebanyakannya dibeli oleh rakan senegara mereka, kata polis.

Dua suspek direman hingga 3 Dis manakala suspek ketiga dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman, kata Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim.
PETALING JAYA:
Polis menahan tiga lelaki warga Bangladesh di sekitar Shah Alam kerana disyaki mengeluar dan menjual permit kerja palsu kepada rakan senegara sejak Oktober lepas.

Dua suspek pertama, berusia dalam lingkungan 20 dan 30 tahun, ditahan menerusi serbuan pada 7.30 malam Selasa lepas di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, kata Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim.

Iqbal berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek tinggal di Malaysia sejak kira-kira tiga tahun lepas dan bekerja di sekitar kawasan industri di Hicom Glenmarie.

“Suspek menjalankan kegiatan mengedar serta menjual permit palsu kepada warganegara asing dengan cepat, menawarkan harga yang lebih murah. Harga setiap permit dianggarkan sebanyak RM200 dan kebanyakannya dibeli oleh warga Bangladesh,” katanya lapor Bernama.

Polis turut merampas beberapa peralatan, iaitu sebuah komputer riba, sebuah mesin cetak, tiga pasport, 10 keping pas lawatan kerja sementara dan empat telefon bimbit.

Seorang lagi warga Bangladesh berusia 30-an, yang disyaki turut terbabit dalam kegiatan itu, kemudiannya menyerah diri di IPD Shah Alam malam tadi.

Dua suspek pertama direman hingga 3 Dis manakala suspek ketiga dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.